Apa yang selesai bila kita hanya berbetah?

oleh Lutfi Hakim

Boleh dikatakan saban hari ada sahaja pertelingkahan baru yang berlaku di media sosial.

Sesuatu hantaran yang pada luaran nampaknya seperti tiada apa-apa bagi lingkungan penulis asalnya, apabila tersebar kepada golongan luar lingkungan menjadi sebuah isu yang besar.

Payah untuk mengelakkan perkara ini daripada terjadi, kerana media sosial itu sifatnya sosial, iaitu ia direka untuk mudah merebak dan tidak semestinya hanya kepada penerima yang dikehendaki.

Perbezaan gaya hidup, pendirian, pegangan yang dipaparkan seterusnya menjadikan ia sesuatu yang hangat diperkatakan oleh warga maya.

Berperanglah mereka; yang menyokong mati-matian mahu terus menyokong, yang menyerang pula tidak mahu mengalah seinci pun.

Sehingga kadang-kadang ia menjadi isu politik nasional.

Aneh juga bila diperhatikan, fokus dan tenaga lebih tertumpu kepada isu-isu yang memberikan rasa puas dan ketinggian moral berbanding perkara yang secara langsung memberi kesan kepada komuniti, keluarga, dan kerjaya masing-masing.

Barangkali ini merupakan satu cara masyarakat kita melepaskan tekanan dan meringankan kegelisahan yang mereka pikul.

Maklumlah, masalah-masalah sebenar yang dihadapi tidak dapat diselesaikan dengan hanya menggoogle artikel-artikel tentang isu tersebut, dan berbalas-balas pesanan Whatsapp dan bebenang Twitter selama berjam-jam lamanya.

Rasa geram yang sememangnya ada itu dikambus bawah hiburan dalam bentuk perdebatan ‘nilai’; setiap pihak mahu membuktikan bahawa mereka lebih mulia.

Namun muliakah nilai yang dibangga-banggakan itu, jika kepincangan sosial berpunca daripada kekurangan sistemik tidak diberi perhatian?

Ini mencakupi perkara-perkara yang berkait langsung dengan hidup kita: paras gaji yang tidak seberapa, taraf kehidupan yang semakin menurun, kos kediaman manusiawi yang tinggi, kekurangan peluang pekerjaan yang baik, dan sebagainya.

Jelas, masalah masyarakat tidak terhad kepada perkara-perkara yang melibatkan salah laku, kepercayaan, dan kecenderungan individu.

Susun atur yang lebih besar yang membuatkan ketidakseimbangan dan kerentanan dalam komuniti berterusan juga perlu dihadapi, atau setidak-tidak diperdebatkan dengan jujur.

Tentu ada orang kaya, orang miskin, orang sihat, orang sakit, orang berkuasa, orang terkesamping, tidak dinafikan, tetapi mengapa ia berlaku perlu diselidik.

Juga perlu direnungkan sebab golongan kecil tertentu, tanpa mengira kaum, kekal berada di atas dan semakin mengaut kuasa.

Ini harus dilakukan dengan berpandukan maklumat dan dapatan yang sahih dan benar, bukan sekadar apa yang sedap didengar.

Sentimen dan sudut pandang yang disampaikan kepada kita, harus dipertimbangkan secara masak agar kita tidak dijadikan alat memperkukuhkan mereka yang sememangnya lebih berkuasa, untuk membenci yang sedia ada lemah.

Ini sangat penting di kala kita semua sedang berhempas-pulas menghadapi pelbagai cabaran peribadi.

Pembaikpulihan dan penambahbaikan keadaan kita hari ini tidak akan datang bergolek, ia memerlukan sebuah usaha besar yang berterusan.

Usaha seperti itu memerlukan sokongan dan saranan secara meluas untuk dibangunkan menjadi ampuh.

Maka, apa diperlukan sekarang ialah usaha saling membina, dan bukannya saling bermusuhan.

Media sosial bukan sebab mutlak berlakunya permusuhan atau persengketaan antara golongan dalam masyarakat, kerana ia hanyalah alat.

Sepertimana alat-alat lain, ia harus difahami,dipelajari, dan digunakan untuk membawa manfaat dan bukan sebaliknya.

Semua tenaga lebihan yang kita ada perlu disalurkan bagi membaiki keadaan hari ini untuk semua, dan bukannya sekadar memuaskan nafsu berbetah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: