Reformasi Fiqh Siyasah dan Perlindungan Terhadap Minoriti

oleh Afiq M. Noor

‘Menjadi umat beragama harusnya membuat kita menjadi orang (yang) lebih baik, (biar) apa pun agama (kita), bukan membuat (kita) merasa paling benar, kerana ketika (kita) merasa paling benar, (kita) cenderung mengkoreksi (apa) yang menurut (kita) salah. Dan ketika (kita) mengkoreksi (apa) yang menurut (kita) salah, disitulah terjadi(nya) perpecahan. Salah satu masalah terbesar manusia adalah ketika dia merasa (paling) benar, dia boleh melaku(kan) segalanya kepada yang menurut(nya) salah. Kalau dia merasa (dirinya) mulia dia boleh melaku(kan) apa pun kepada yang tidak mulia…dari dulu manusia begitu…’ – Pandji Pragiwaksono

Begitulah ucap Pandji Pragiwaksono dalam acara stand-up komedinya – Juru Bicara. Asal muasal saya menonton stand up komedinya Pandji kerana saya lelah sekali membaca ujaran kebencian yang mengatasnamakan Islam. Lebih malang kebencian tersebut dibenarkan dengan ayat-ayat Al Quran, hadith nabi dan aqwal (perkataan-perkataan) ulama. Pandji memberikan contoh menarik tentang dua sosok tokoh muslim di Indonesia – Prof Dr. Quraish Shihab, seorang pakar tafsir Al Quran dan Habib Rezieq Shihab, Imam Besar Front Pembela Islam (FPI). Kedua-duanya disirami agama yang sama -Islam-, solatnya sama-sama lima waktu, bacaan solatnya sama, Al Quran yang dibaca juga sama tetapi mengapa outputnya berbeza? Jawapannya ialah kerana mereka berdua adalah individu yang berbeza – berbeza latar belakang, pengalaman, cara melihat dan mengapresiasi manusia.

Begitulah juga dengan kita – pentafsiran keagamaan sangat bergantung kepada ilmu, pengalaman dan bagaimana kita melihat apa yang ada di sekitar kita.

Menjadi Minoriti Di Tengah-Tengah Umat Beragama

Dimana-mana, nilai kebenaran dan kemuliaan sering disandarkan kepada agama. Ada yang menyandarkannya dengan tafsiran agama yang sangat manusiawi seperti Prof Dr Quraish Shihab dan ada juga yang sebaliknya.

Prof Dr Quraish Shihab. Foto Ihsan FB @MQShihab

Menjadi orang kecil dan minoriti selalu menyakitkan, baik di negara yang majoritinya muslim atau di negara yang majoritinya bukan muslim. Minoriti sangat identik (walaupun tidak selalunya begitu) dengan pengurangan harkat, status kemanusiaan dan kewarganegaraan. Setidaknya begitulah realiti yang berlaku di Malaysia. Lebih malang, Islam di jadikan alasan untuk melegitimasi tindak kekerasan dan pengurangan hak tersebut.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan menjamin layanan dan hak samarata terhadap warganya tanpa diskriminasi ras, agama dan jantina, fenomena ini sangat mengecewakan. Saya masih ingat beberapa waktu yang lalu sebuah video yang diterbitkan oleh laman web ‘Indahnya Islam’ memaparkan komentar dari Mufti Terengganu yang menyinggung tentang kisah Nabi Yusuf A.S dan mengaitkannya dengan perlantikan warganegara yang bukan muslim sebagai Menteri Kewangan. Beliau menyatakan jawatan Menteri Kewangan merupakan jawatan strategik yang sepatutnya di pegang oleh muslim kerana dikhawatiri dengan jawatan tersebut akan menggadaikan wilayah dan ideologi (muslim). Beliau juga mengkritik pelaksanaan slogan ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ (Islam Rahmat Untuk Sekelian Alam) dengan menyatakan jika tidak berhati-hati, boleh jadi slogan tersebut akan menguntungkan ‘kafirin’ (non-muslim) dan menindas muslimin.. Begitu juga kenyataan dari Mufti Pahang suatu ketika dahulu yang mengkafir harbikan DAP. Sudah tentu kenyataan-kenyataan seperti ini menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli parti dan penyokong sekali gus menghakis harkat dan status demokratiknya sebagai sebuah parti yang berdaftar secara sah di bawah undang-undang negara. Sebagai Mufti, sudah pasti mereka menggunakan naratif agama untuk melegitimasikan pendapat mereka.

Selain naratif keagamaan, ucapan-ucapan seperti- pendatang, penumpang kereta, komunis dan anak buah Chin Peng juga tidak jarang kita dengar dari ahli-ahli politik bahkan segelintir kecil aktivis yang mengatasnamakan Islam untuk melegitimasi perkauman sempit yang mereka imani.

Mengharmonikan Teks Klasik & Politik Kontemporari

Pemikiran-pemikiran yang mengurangi atau menempatkan bukan muslim sebagai warganegara kelas kedua ini telah dibahaskan oleh ulama fiqh sejak ribuan tahun yang lampau. Misalnya, di dalam Tahrir Al Ahkam Fi Tadbiri Ahl Al Islam oleh Badruddin Al Hamawi menyatakan – “…tidak diperbolehkan untuk melantik dzimmi (bukan muslim) untuk memegang apa-apa jawatan yang berkaitan dengan muslim kecuali untuk mengutip jizyah (cukai perlindungan) dikalangan dzimmi (bukan muslim) atau untuk mengutip cukai jual beli dikalangan musyrikin (bukan muslim)….Dia (bukan muslim) juga tidak boleh dilantik untuk memegang sebarang jawatan yang terkait dengan urusan umum muslim…Sesiapa yang melantik dzimmi (bukan muslim) untuk mengendalikan urusan muslim, sesungguhnya dia telah memberikan peluang bagi dzimmi (bukan muslim) untuk menguasai muslim.”

Al Mawardi di dalam Al Ahkam Al Sulthaniyah Wa Al Wilayah Al Diniyah pula menyatakan – “Imamah (kepemimpinan) adalah pengganti urusan kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir dunia justeru melantik pemimpin untuk tujuan tersebut hukumnya wajib” (Hal 5). Al Mawardi juga membahagikan pentadbiran negara kepada dua bahagian –Pertama, Tafwidhiyah yang boleh diertikan secara umum sebagai pembuat dasar atau polisi, undang-undang (legislatif) dan kehakiman. Kedua, Tanfidziyah sebagai pelaksana polisi dan undang-undang (eksekutif). Beliau selanjutnya menyatakan – “Dibolehkan untuk melantik ahl dzimmah (bukan muslim) memegang jawatan Tanfidziyah (eksekutif/ pelaksana dasar dan undang-undang) tetapi tidak dibenarkan untuk melantik mereka mengisi jawatan yang bersifat Tafwidhiyah…” (Hal 27)

Ibn Munzir dalam Ahkam Ahl Dzimmah pula menyatakan – “Sesungguhnya telah sepakat ahli ilmu bahawa orang kafir (bukan muslim) tidak boleh dilantik sebagai pemimpin orang muslim dalam apa keadaan sekalipun” (Juz 2 Hal 787).

Naratif-naratif seperti ini yang telah ditulis ribuan tahun yang lampau mungkin relevan dalam konteksnya pada masa itu yang sudah pasti berbeza dengan keadaan kita pada hari ini. Bahkan pembahagian warganegara bukan Muslim kepada beberapa kategori – dzimmi, harbi, mu’ahad dan musta’man sudah tidak lagi relevan, setidaknya dalam konteks Malaysia yang mempunyai Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara (Per 4) yang menjamin setiap warganegaranya adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama tanpa diskriminasi ras, agama, tempat lahir dan jantina (Per 8).

Dr Yusuf Al Qaradawi juga pernah mengingatkan kita tentang pentingnya mengkontekstualisasi fiqh dan bukan sekadar mengulang-ulang perkataan ulama tanpa mengambilkira relevansi suasana dan keadaan di sesebuah tempat– “Fiqh yang benar bukanlah sekadar menaqalkan pendapat ulama dari kitab-kitab (mereka). Sesungguhnya kitab-kitab tersebut dikarang untuk merespon kepada persoalan pada masa dan tempat (ia dikarang). Fiqh yang benar adalah ijtihad faqih (ulama fiqh) terhadap keadaan dan situasi di tempatnya sebagaimana ijtihad ulama terdahulu terhadap kondisi dan persekitaran mereka” (Twitter 28.8.2018).

Al Qarafi di dalam Anwar Al Buruq Fi Anwa’ Al Furuq mengatakan “…kejumudan terhadap pandangan ulama terdahulu merupakan suatu kesesatan dalam beragama dan kejahilan terhadap apa yang dimaksudkan mereka…” (Juz 1 Hal 177)

Justeru, mengkontekstualisasi teks-teks fiqh klasik yang baku dengan nalar kontemporari amat perlu supaya Islam terlihat terus relevan dan manusawi.

Membaca Fiqh Dalam Kerangka Perlembagaan Persekutuan

Sekali lagi perlu digarisbawahi bahawa Perkara 4 Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama di Malaysia dan apa-apa undang-undang yang dilulusakan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah setakat ketidak selarasan itu.

Walaupun, Perkara 3 (1) Perlembagaan memperuntukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan namun ia tidaklah mengurangi mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, termasuklah soal perlantikan warganegara yang bukan muslim sebagai Menteri Kewangan, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara atau apa-apa jawatan dalam tiga cabang utama pentadbiran di Malaysia – eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Bahkan, Perkara 8 secara jelas menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama dan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam perlantikan apa-apa jawatan atau pekerjaan kecuali yang dibenarkan secara nyata di dalam Perlembagaan.

Tidak ada apa-apa peruntukan undang-undang yang mensyaratkan secara spesifik jawatan-jawatan tertentu seperti Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara hanya boleh diisi oleh seorang yang berketurunan melayu dan muslim.

Di Malaysia, setiap tindakan, keputusan atau kebijakan yang dibuat hendaklah menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas dan kayu ukur sebagaimana yang diniatkan oleh para pendiri negara (founding father) ini. Maka, sebelum seorang Mufti berfatwa, selain dia perlu mengkontekstualisasikan teks-teks klasik dengan perkembangan semasa, dia juga perlu menyedari dalam kerangka apa fatwa tersebut dikeluarkan. Nah, jika di dalam kerangka berbangsa dan bernegara sudah pasti fatwa tersebut tidak terlepas dari kerangka Perlembagaan Persekutuan – sebuah dokumen yang dalam istilah Al Quran disebut sebagai ‘kalimatin sawa’ (permuafakatan) yang telah dipersetujui oleh semua tanpa mengurangkan sedikit pun hak setiap warga walaupun berbeza agama.

Ijtihad Progresif – Belajar Dari KH. MA. Sahal Mahdufh & Bahtsul Masail Nahdhatul Ulama

Dr Ali Jumah, Mufti Mesir, ketika di tanya tentang hukum melantik pemimpin dari kalangan warganegara Mesir yang bukan Muslim menyatakan bahawa, tidak menjadi masalah bagi warganegara bukan muslim untuk menjadi pemimpin bahkan pemimpin tertinggi angkatan tentera sekalipun. Status kewarganegaraan di antara muslim dan bukan muslim adalah setara dan selepas pemberhentian Perjanjian Dzimmah pada tahun 1852, tidak ada lagi status dzimmi terhadap warganegara Mesir yang bukan muslim.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri di dalam Bayan Linnas Siri ke-129 juga mengeluarkan pendapat yang hampir senada dengan Dr Ali Jumah tentang hukum mengundi dan melantik pemimpin di kalangan warganegara bukan muslim. Cuma menurut Dr Zulkifli, jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, hal ehwal agama dan pertahanan harus kekal di sandang oleh muslim yang berkelayakan.

Pada 28 Februari 2019 yang lalu bertempat di Pondok Pesantren Miftahul Huda Al Azhar, Citangkolo, Kota Banjar, Jawa Barat telah berlangsung Musyawarah Nasional (MUNAS) Alim Ulama NU 2019. Di dalam sidang Bahtsul Masail, warga NU telah membahaskan tentang penggunaan perkataan ‘kafir’ kepada warganegara yang bukan muslim dalam konteks bernegara atau fiqh siyasah. Para musyawirin (peserta) bersepakat untuk tidak menggunakan perkataan ‘kafir’ kepada sesama warganegara kerana perkataan tersebut boleh menyakiti sebahagian warganegara bukan muslim dan mengurangkan hak-hak kewarganegaraan mereka yang sama-sama membangun dan membina Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI). Dalam konteks berbangsa dan bernegara istilah yang tepat adalah ‘muwathinun’ (warganegara) untuk menunjukan kesetaraan dalam bingkai kenegaraan.

Bahkan jauh sebelum itu, Allahyarham KH. MA. Sahal Mahfudh, mantan Rais ‘Am Nahdhatul Ulama, menyatakan di dalam tulisannya Bahtsul Masail Dan Istinbath Hukum NU: Sebuah Catatan Pendek – “…seandainya ada produk fiqh yang tidak bermuara pada terdapatnya sebuah keadilan di masyarakat, maka harus ditinggalkan. Misalnya ‘fiqh politik’ (fiqh siyasah) yang seringkali diktum-diktumnya tidak sejalan dengan gagasan demokrasi yang mensyaratkan keadilan dan persamaan hak manusia di depan hukum. Rumusan fiqh siyasah klasik biasanya menempatkan kelompok non-muslim sebagai “kelas dua”, bukan sebagai entiti yang sedarjat dengan kaum muslimin. Saya rasa pandangan sedemikian harus mulai diubah. Sebab pandangan ini selaian bertabrakan (bertentangan) dengan gagasan demokrasi modern (ia) juga bertentangan dengan ide negara bangsa seperti Indonesia. Profesionalisme, kemampuan dan kapabilitas mestinya menjadi pilihan utama, bukan Muslim atau tidak, bukan lelaki atau perempuan” (Islam Nusantara: Dari Ushul Fiqh Hingga Paham Kebangsaan Hal 59).

Sikap dan fatwa yang keras terhadap warganegara yang berbeza keimanan dengan kita tidak membantu menyelesaikan masalah, bahkan ia hanya melahirkan rasa ketidaknyamanan dan ketakutan terhadap Islam. Kata KH Affifudin Muhajir – “Tugas kita adalah mengenalkan Allah yang tidak hanya menjaga perut hambanya dari kelaparan, tapi juga mententeramkan jiwa dari segala kekhawatiran…”

Jadilah umat beragama yang merangkul kemanusiaan, sesungguhnya Islam tidaklah terlalu kecil sehingga tidak boleh dikongsi bersama. Wallah Al Muwafiq Ila Aqwam Al Thariq.

One thought on “Reformasi Fiqh Siyasah dan Perlindungan Terhadap Minoriti

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: