Rebah menuju karam: layanan terhadap doktor kontrak gejala masalah dasar kesihatan awam

Penuh. Padat. Penat. Itulah gambaran yang kita dapat setiap hari tentang suasana di hospital, ICU dan kematian-kematian disebabkan COVID-19. Seberat mana mata memandang, berat lagi bahu memikul, lebih-lebih lagi buat golongan doktor dan kakitangan kesihatan awam yang menjadi pejuang barisan hadapan menghadapi COVID-19. Kesibukan sedia ada kemudahan kesihatan awam dan kekurangan kakitangan yang mencukupi, hari ini ditenggelami pula dengan kemasukan jumlah pesakit COVID-19 yang besar secara berterusan. Pada masa yang sama, masa hadapan mereka sebagai kakitangan kesihatan awam masih lagi tergantung di udara.

Walaupun beberapa pentadbiran telah silih berganti, dan kenyataan demi kenyataan menjanjikan bahawa isu ini akan dikaji dan diteliti, namun sebuah penyelesaian masih tidak ditemui. Rakyat turut bersimpati sehingga ramai yang sanggup memberikan wang sendiri untuk mendanakan penjawatan kakitangan kontrak kesihatan awam. Tetapi sejauh mana dana rakyat ini mampu menjamin masa depan semua tenaga terlatih ini? Adakah betul-betul mustahil untuk negara menampung lebih banyak penjawatan bagi bidang perubatan dan menggaji doktor-doktor ini, kegunaan yang lebih mustahak untuk masyarakat umum?


Dalam kalangan pekerja-pekerja sektor kesihatan awam ialah para pekerja kontrak. Mereka ini termasuklah doktor perubatan, doktor gigi, ahli farmasi, jururawat, dan juga kakitangan am dan pembersih. Dalam tempoh ini, mereka bertugas di klinik-klinik, pusat-pusat saringan, pusat pemberian vaksin, dan hospital-hospital di barisan hadapan, menghadapi risiko dijangkiti COVID-19 secara langsung dan menanggung beban emosi dan mental yang besar. Pada masa yang sama, status penjawatan kontrak mereka bermakna mereka ini tidak mempunyai status tetap dalam perkhidmatan kesihatan awam, yang bermaksud status jangka masa panjang, peluang kemajuan kerjaya dan kelayakan manfaat-manfaat mereka tidak jelas walaupun setelah bertahun berkhidmat.

Dalam suasana penuh tekanan ini, tidak hairanlah sekiranya golongan doktor kontrak mulai berasa kesal dan meninggalkan tugas mereka serta-merta[1], ataupun mengambil tindakan untuk mengatur hartal (mogok) bagi menuntut keadaan kerjaya yang lebih baik. Sejak hujung bulan Jun 2021, sekumpulan doktor kontrak telah memulakan kempen untuk mengumumkan keputusan mereka melakukan hartal pada 26 Julai sebagai tanda ketidakpuasan mereka terhadap terma-terma pekerjaan mereka. Ini merupakan perkembangan terbaru dalam isu doktor kontrak yang bermula sejak tahun 2016.

Perkhidmatan Awam Sudah Lama Terbeban

Lama sebelum dia dikenali sebagai personaliti kesihatan di era COVID-19,  Dr Noor Hisham Abdullah, pernah menulis sebuah hantaran media sosial yang berbunyi, “Kita (perkhidmatan kesihatan awam) kini kurang pendanaan, kekurangan tenaga kerja, bergaji rendah, kerja secara berlebihan, terlebih guna, dan dengan kemudahan yang dipenuhi terlalu ramai pesakit.”[2] Dalam hantaran tahun 2019 tersebut, dia memuatkan sekali sebuah graf yang menunjukkan nisbah perbelanjaan sektor perkhidmatan awam Malaysia kepada jumlah keluaran domestik negara kasar (KDNK) antara yang terendah berbanding negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura. Dia juga menyatakan bahawa 1 daripada 3 doktor mengalami burnout (lesu upaya) akibat jumlah pesakit yang terlalu banyak.

Ini meskipun Malaysia dikatakan mempunyai nisbah doktor ke pesakit yang menepati piawaian WHO iaitu 1:400, namun ia tidak memberikan gambaran sebenar tentang keadaan perkhidmatan kesihatan awam, khususnya berkaitan dengan jumlah anggota kakitangan yang diperlukan. Pada masa yang sama, persoalan ini berkait rapat dengan usaha merasionalisasikan (baca: mengurangkan) perbelanjaan berkenaan penjawat awam, termasuk golongan doktor dan kakitangan kesihatan.

Usaha tersebut yang bermula di zaman pimpinan Najib Razak sebagai PM ke-6 merupakan sebuah usaha untuk memperbaiki kedudukan kewangan negara dan mengelakkan Malaysia daripada muflis.[3] Pada tahun 2016, pentadbiran Najib Razak mengumumkan pembekuan pengambilan penjawat awam baru, dan bukan semua kekosongan yang wujud akan diisi.[4] Urusan penjawatan awam terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam, dan melibatkan pengambilan semua staf kerajaan termasuk polis, guru, doktor, bomba, dan lain-lain pekerjaan. Namun, keperluan kesihatan masyarakat meningkat dari tahun ke tahun disebabkan peningkatan jumlah penduduk dan kadar penghidapan penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases, NCD) yang memerlukan kepada peningkatan jumlah kakitangan kesihatan awam.

Dalam usaha memenuhi keperluan tersebut, pentadbiran Najib Razak telah menawarkan kontrak perkhidmatan sementara kepada kemasukan pegawai perubatan pelatih pada tahun tersebut, dasar yang diteruskan pada tahun-tahun seterusnya. Penerimaan kontrak ini bukanlah boleh ditolak oleh majoriti besar graduan perubatan kerana mengikuti program latihan perubatan selama dua tahun di hospital awam merupakan sebahagian daripada syarat menerima lesen doktor dalam negara, dan juga peluang penyerapan ke dalam sistem kesihatan awam.

Akan tetapi, bilangan doktor kontrak hanya melonjak sejak tempoh tersebut. Hari ini dianggarkan terdapat lebih 23,000 doktor kontrak yang berkhidmat di kemudahan kesihatan awam, dan status dan masa hadapan kerjaya mereka masih lagi terumbang-ambing. Setakat ini, hanya seramai 789 doktor kontrak telah diserap ke dalam perkhidmatan kesihatan awam, iaitu lebih kurang 3% daripada jumlah keseluruhan mereka.[5]

Tuntutan-tuntutan doktor kontrak

Di sebalik riuh-rendah hartal ini ialah perancangan dan pengurusan sumber bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan perkhidmatan kesihatan awam negara. Penyelesaian isu doktor dan kakitangan kesihatan kontrak merupakan salah satu sisi utama untuk memastikan tahap perkhidmatan kesihatan tidak terjejas dalam tahun-tahun mendatang, yang akan memberikan kesan buruk terhadap taraf kesihatan golongan berpendapatan rendah dan luar kawasan bandar terutamanya. Peningkatan kos perkhidmatan kesihatan swasta, serta yuran insurans dan takaful apabila disemak secara seiringan, pula akan menjadikan ia di luar kemampuan kebanyakan orang ramai, sekaligus meningkatkan kebergantungan orang ramai kepada perkhidmatan kesihatan awam.

Selain gerakan Hartal Doktor Kontrak, Seksyen Berkenaan Pegawai Perubatan Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Persatuan Perubatan Malaysia (MMA SCHOMOS) juga telah memperjuangkan isu ini sejak lima tahun yang lalu. Walaupun mereka tidak bersetuju dengan tindakan melaksanakan hartal, MMA SCHOMOS telah melakukan hari bersolidariti Black Monday dan kempen #codeblackMY untuk meletakkan tekanan kepada pihak berwajib untuk membuat keputusan berkenaan perkara ini, setelah sekian lama mereka merayu dan berbincang dengan pihak pentadbiran kerajaan.[6]

Jika kita melihat tuntutan gerakan hartal dan SCHOMOS MMC, mereka senada dalam meminta 2 perkara iaitu:

  • Penyerapan pegawai perubatan kontrak
  • Laluan kerjaya dan kriteria-kriteria jelas menuju penyerapan

Menurut wakil Hartal Doktor Kontrak yang ditemuramah Waroeng Baru, Dr Sabarina (bukan nama sebenar), mereka telah menghantar memorandum kepada KKM, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), dan Perdana Menteri berkenaan hal ini. Setakat ini, mereka hanya menerima balasan daripada SPA yang mengatakan mereka tidak bertanggungjawab menyelesaikan isu penempatan doktor kontrak, dan menuding jari kepada KKM sebagai badan bertanggungjawab.

Dalam perkembangan terkini, Perdana Menteri telah mengumumkan keputusan kabinet untuk menawarkan lanjutan kontrak, penambahbaikan manfaat-manfaat, dan kesetaraan Cuti Sambil Belajar dan Hadiah Latihan Persekutuan bagi mereka yang terkesan. Ini harus diakui sebuah perkembangan yang positif hasil tekanan yang diberikan, namun ia masih melengahkan keputusan untuk menyelesaikan masalah pokok isu ini.

Ubah persepsi terhadap perbelanjaan perkhidmatan awam

Sejak era Najib Razak, fokus terhadap memulihkan kedudukan kewangan awam melalui pengurangan kos dan pengawalan kadar hutang negara kekal hingga sekarang. Hatta di era pandemik sekalipun, kadar defisit negara masih lagi menjadi antara kayu ukur utama walaupun ekonomi sebenar teruk dibantai COVID-19.

Tindakan-tindakan secara ad-hoc seperti tawaran lanjutan tahunan tidak akan memberikan ketenteraman kepada kakitangan kesihatan yang terkesan, dan hanya akan menggandakan beban perkhidmatan kesihatan awam yang umum diperakui. Dengan memukul rata usaha rasionalisasi penjawat awam, tanpa mengambil kira kesannya kepada kualiti penyampaian perkhidmatan khususnya di sektor asas seperti kesihatan dan pendidikan akan merugikan masyarakat secara keseluruhan. Pengalaman yang dilalui doktor kontrak ini turut dialami oleh lain-lain kakitangan kontrak di sektor awam dan akan memerlukan pendekatan yang berpandangan jauh.

Tidak dinafikan bahawa keberkesanan perbelanjaan awam harus ditingkatkan, lebih-lebih lagi dengan jumlah peruntukan yang meningkat saban tahun. Pengurusan sumber haruslah diperbaiki dan ketirisan dikurangkan, bukan setakat mengurangkan kos. Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak dapat lari daripada berbelanja untuk memastikan perkhidmatan asas seperti kesihatan dapat berfungsi pada tahap yang diperlukan rakyat. Gunakanlah hasil kajian yang ada selama ini untuk mengambil tindakan yang diperlukan.

Ini akan memakan kos yang tinggi daripada pihak kerajaan, semestinya. Usaha-usaha mengembangkan asas pendapatan kerajaan perlu diluaskan secara progresif, dengan menumpukan kepada kegiatan ekonomi yang membenarkan pengumpulan harta secara berlebihan, seperti cukai keuntungan luar biasa dan cukai keuntungan modal yang bersasaran. Oleh kerana masa yang panjang diperlukan untuk melaksanakan perkara-perkara tersebut, kerajaan juga perlu mempertimbangkan peminjaman dana, dan menilai semula keutamaan melaksanakan projek-projek mega seperti projek MRT3 yang dianggarkan bernilai lebihi RM30 bilion, untuk memberikan kelegaan sementara. Usaha-usaha untuk merombak sistem perkhidmatan awam juga perlu diteruskan untuk mewujudkan sebuah sistem yang mampan untuk masa hadapan.

Fikirkan senario yang mungkin berlaku sekiranya masalah dibiar belarutan. Doktor dan kakitangan kontrak sedia ada tidak dilanjutkan atau meninggalkan jawatan mereka kerana telah puas menanti kepastian untuk kerjaya mereka.. Ini akan mengakibatkan sektor perkhidmatan awam kehilangan tenaga perubatan terlatih sedangkan hospital-hospital dan klinik sudah pun kekurangan tenaga kerja. Tambahan lagi, apabila staf perubatan pakar semasa sampai umur persaraan dan meninggalkan tenaga kerja kesihatan awam, kita akan kekurangan pelapis yang mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: