Kestabilan dan fokus penting kerana rawatan yang Malaysia perlukan bersifat sistemik. Rombakan dan dasar yang berkaitan akan ditentang bukan sahaja oleh seteru politik, kerajaan juga menggendong tugas berat meyakinkan begitu ramai pihak berkepentingan, orang tengah, pengguna, dan rakyat biasa tentang peri pentingnya melakukan pembaharuan-pembaharuan tersebut.
Ibaratkan sebuah jasad yang berpenyakit, minda mempunyai cita-cita tinggi namun organ dan bahagian tubuh badan belum bersedia dan perlukan pemulihan dahulu sebelum ke depan. Begitu juga dengan jiwanya, yang setelah sekian lama dalam kesusahan, lebih rela menghadap penyakit dari usaha merawat.
Belum sempat kerusi Perdana Menteri panas, sudah mula operasi menjatuhkan kerajaan hari ini. Segala nama dan konsep keji digunakan, semata-mata bagi menafikan keabsahan pentadbiran baru ini. Mungkin kerana sudah terbiasa melakukan usaha begitu, pihak pembangkang hari ini cenderung untuk merampas kuasa daripada menjadi kuasa semak imbang.
Suhu politik perlu diturunkan
Ini tidak wajar kerana kita di ambang tahun yang mencabar. Penganalisis rata-rata menjangkakan bahawa 2023 akan membawa kegawatan ekonomi global, akibat pelbagai faktor berbeza. Peperangan Rusia-Ukraine yang sudah hampir setahun akan terus menjadi salah satu punca ketegangan global dan kenaikan inflasi tenaga dan bahan api, manakala negara Cina mula berhadapan dengan rakyat mereka yang semakin tidak puas hati kerana polisi sifar covid yang telah melembabkan ekonomi dan mengasingkan mereka dari dunia luar selama hampir tiga tahun.
Menurut Bank Negara, pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun hadapan akan mudah dipengaruhi kelembapan ekonomi global, kecenderungan untuk risiko rendah yang ketara, peningkatan konflik geopolitik dan kemunculan semula gangguan rantai bekalan. Inflasi juga dijangka terus meningkat disebabkan tekanan dari sudut bekalan dan permintaan.
Inilah yang menjadi latar kemunculan kerajaan baru ini, dan sebab kestabilan dan pengurangan suhu politik diperlukan.
Tanggungjawab ini bukan di atas kerajaan semata-mata, warga dan masyarakat sivil juga perlu memainkan peranan untuk memberi saranan dan sokongan terhadap dasar-dasar yang positif, mendidik masyarakat agar tidak terpengaruh dengan maklumat berniat jahat, dan semak dan imbang semestinya. PRU merupakan satu batu penanda dalam perjalanan demokrasi, bukannya garis penamat.
Jangan gunakan kestabilan hanya sebagai gimik PRU
Pendirian kerajaan khemah besar merupakan langkah positif yang memberikan ruang untuk anggota pentadbiran fokus terhadap cabaran-cabaran ekonomi dan sosial yang meruncing, dan muslihat politik tidak mengalih perhatian mereka.
Kita telah lihat kesan permainan politik yang berterusan dalam 30 bulan yang baru berlalu: jawatan menjadi rebutan tanpa ada prestasi, Perdana Menteri dinaikkan dan diturunkan mengikut nafsu politik, dan rakyat terbiar dan tercicir, sehingga perlu menjaga kebajikan sendiri walaupun kerajaan mengutip hasil dari cukai pendapatan dan aktiviti ekonomi rakyat.
Ini yang perlu dielakkan dan sebarang usaha yang menjurus ke arah itu perlu dinafikan. Apa lagi bila ia berasaskan pembohongan dan tohmahan yang tidak berasas, yang bukan sahaja mampu meruntuhkan sebuah kerajaan, malah meleraikan ketenteraman awam.
Ia tidak dapat diselesaikan dalam satu penggal secara realistiknya. Tetapi usaha-usaha memperbaiki dapat dimulakan sekiranya pentadbiran hari ini diberi ruang yang diperlukan. Ini tidak memerlukan logik yang rumit, dan pihak yang menjadi pembangkang hari ini sendiri menggunakan ‘kestabilan’ kerajaan sebagai bahan kempen. Apakah kestabilan yang dimaksudkan itu hanya untuk kerajaan pimpinan mereka, dan apabila orang lain mentadbir, ia boleh dibuang ke tepi?
Pada masa yang sama, orang ramai perlu waspada dengan maklumat berniat jahat yang dicipta dan disebarkan secara terancang untuk menimbulkan kebencian, kecurigaan dan seterusnya membawa kepada keruntuhan sebuah pentadbiran yang telah terbentuk secara demokratik dengan mandat yang jelas dari rakyat.
Ini tidak bermaksud kita hanya bersetuju dan menerima apa sahaja kata kerajaan semasa, tetapi kita perlu elakkan diri kita dari dijadikan alat oleh pelampau politik yang tidak segan untuk mengelirukan dan menipu masyarakat untuk menaikkan kemarahan, bukan sahaja terhadap kerajaan, tetapi juga terhadap golongan minoriti dan lemah.
Jika anda suka podcast Waroeng Baru, berikan sokongan anda melalui membeli buku-buku dan penerbitan ahli kolektif kami di waroengbaru.com/buku