
Pilihan raya umum kali ini peluang untuk kita mulakan lembaran baru untuk Malaysia. Masanya juga untuk kita tolak secara terang-terangan usaha untuk mendalamkan permusuhan dan kebencian antara rakyat Malaysia. Cukuplah kucar-kacir 3 tahun kebelakangan yang merugikan kita.
Dalam saat-saat akhir kempen, kelihatan usaha-usaha untuk mencorakkan PRU15 sebagai medan tempur antara bangsa dan agama. Ini menghairankan kerana laporan demi laporan kaji selidik menyatakan kos sara hidup dan peluang ekonomi yang menjadi keutamaan dalam kalangan rakyat, namun yang menjadi buah mulut sesetengah pemimpin ialah kenyataan untuk mewujudkan kecurigaan antara masyarakat.
Sedangkan PRU kali ini cukup kritikal bagi mencari jalan pemulihan negara kita setelah krisis-krisis yang melanda. Kehidupan kita cukup terkesan akibat kelemahan dan kekurangan dalam pentadbiran yang bermula berdekad lalu, serta gangguan berskala global seperti perang Rusia-Ukraine, dasar sifar COVID Cina, dan lain-lain. Kesan semua ini kita alami setiap hari, baik dalam bentuk paras gaji yang tidak meningkat setaraf dengan kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti dan berpadanan dengan tahap pendidikan, kualiti perkhidmatan kerajaan yang merosot, kekurangan bahan makanan asas seperti telur, kuasa membeli yang semakin mengecil, dan macam-macam lagi.
Masalah-masalah ini terbit dari pelbagai faktor dari dalam dan luar negara. Ia tidak mudah diselesaikan, dan akan memerlukan perhatian dan usaha berterusan mana-mana pihak yang mentadbir. Justeru, kita sangat perlukan sebuah kerajaan yang fokusnya jelas kepada menangani masalah-masalah yang secara realitinya di hadapan kita. Maka tindakan sesetengah pemimpin menggunakan pilihanraya kali ini untuk menyebar onar dan membakar sentimen kaum dan agama secara melampau amatlah dikesali.
Harus ditekankan, kebebasan untuk bersuara dan menyampaikan gagasan-gagasan pemikiran bukan bermaksud kebebasan untuk memupuk dan menggalakkan kebencian terhadap golongan yang berlainan bangsa, agama, mahupun fahaman politik.
Kita perlu tegas; penyebaran fahaman melampau sebegini perlu ditolak baik berjubahkan agama, mahupun bertali leher. Kita tidak boleh memberi ruang kepada pihak yang mahu jadikan persengketaan antara komuniti sebagai ciri utama masyarakat kita, agar ketegangan tersebut membuka jalan mereka merebut kuasa.
Dalil-dalil suci akan dipersenjatakan agar orang ramai yang hanya mahu menjadi insan soleh berasa serba salah jika tidak menurut tafsiran mereka. Kisah-kisah konspirasi mereka terus sebarkan untuk membuat orang berasa takut dan memusuhi orang berlainan bangsa dan agama, meskipun fakta dan kebenaran dihamparkan secara langsung di depan mereka. Kata-kata mereka tidak boleh ditegur dan disanggah, kerana pendirian mereka sahaja yang dianggap benar.
Kita perlu tolak fahaman dan amalan ini.
Sebuah kerajaan yang baik perlu membangunkan keseluruhan masyarakat, bukannya mengapi-apikan antara satu sama lain. Kerajaan yang baik juga perlu mempunyai kemampuan untuk mengurus dan menangani isu yang melanda berdasarkan ilmu dan pengalaman mentadbir, bukannya mengalihkan tanggungjawab dan menyalahkan orang lain.
Ini yang kita perlu cari dalam sebuah kerajaan, dan inilah tujuan kita turun mengundi pada hari Sabtu ini.