YDPA Melindungi Keluhuran Perlembagaan Dalam Kacau-bilau Politik

Pengalaman 17 bulan sejak Februari 2020 ini memberi kita pengalaman cukup perit akan akibat memiliki pemimpin yang terlalu bergantung kepada sokongan politik dari luar, yang akhirnya terungkai dengan sendirinya.

Apatah lagi jika suasana yang diulangi dengan pemain-pemain yang sama, mengulangi pergelutan yang sama, cuma kepalanya diganti. 

Yang di-Pertuan Agong, dan Majlis Raja-raja ialah benteng ampuh yang memelihara keluhuran perlembagaan dan mengelakkan sistem demokrasi berparlimen negara dijadikan tebusan permainan kuasa yang melampau.  

Ketidakstabilan yang berterusan bukan sahaja akan menggendalakan kerja pentadbiran dan pengurusan krisis COVID-19, tetapi akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kemampuan sistem kenegaraan secara keseluruhan selesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

Ini hanya akan mendorong orang ramai hilang rasa hormat dan bersikap acuh tidak acuh terhadap institusi-institusi kerajaan. Maka, YDPA dan MRR mempunyai peranan penting dalam menentukan pelantikan Perdana Menteri yang baru supaya Perlembagaan, demokrasi, dan kebajikan Malaysia terjaga.

Tidak mustahil sekiranya gabungan PN yang mencalonkan Ismail Sabri mempunyai bilangan sokongan hakiki yang lebih tinggi sekarang, tetapi adakah ia menjamin kestabilan jangka panjang dan pemeliharaan kebajikan rakyat?

Perdana Menteri yang dilantik perlulah berkebolehan dan mempunyai ruang untuk segera menghadapi krisis kesihatan, ekonomi, dan sosial, tanpa diikat oleh permintaan-permintaan politik yang berlawanan. 

Kabinet baru juga perlulah dianggotai sosok yang mampu buat kerja, dan jawatan tidak dijadikan habuan politik untuk meredakan pergolakan dalam kalangan penyokong-penyokong mereka.

Begitulah jua kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Yassin, meskipun mempunyai sokongan unggul di awal, namun tidak pernah berani diuji sehingga penghujung hayatnya.

Sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu.

Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, dan musyawarah bersama Majlis Raja-Raja pada Jumaat ini berupaya membawa sebuah keputusan yang terbaik dan menguntungkan rakyat.

Dengan memberi ruang untuk meneliti kerumitan yang ada, pemilihan seorang Perdana Menteri yang baik bukan sahaja tertakluk kepada permainan populariti langsung antara ahli-ahli Dewan Rakyat.

Seperti mana jumlah undian rakyat yang diperoleh sebuah gabungan politik tidak menentukan secara langsung kedudukan mereka di parlimen, jumlah perakuan bersumpah yang dibuat hari ini juga wajar menjadi sebuah gambaran kewibawaan seseorang calon dan diperkukuh atau dilemahkan oleh pertimbangan-pertimbangan yang berkenaan seperti kestabilan gabungan, keterampilan pemimpin, dan kebolehan memimpin.

Disinilah kebijaksanaan Raja-Raja Melayu diperlukan. Apabila ahli-ahli politik tidak boleh diharapkan lagi, Raja-Raja Melayu perlu mengambil sikap demi kemaslahatan rakyat. 

Jika tidak, nasihat Almarhum Sultan Azlan Shah mungkin semakin mengampiri kenyataan, “…Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya” (Sultan Azlan Shah, Istiadat Konvokesyen USM, 29 Jun 1980)

YDPA dan MRR merupakan penjaga Perlembagaan yang tertinggi, dan melindung kepentingan seluruh warga Malaysia menurut kerangka raja perlembagaan.

Baginda-baginda sultan yang akan memainkan peranan memastikan negara stabil dan aman, yang sangat dinanti-nantikan rakyat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: