Sudah dua hari kita tanpa sebuah kerajaan yang lengkap.
Kita ada Perdana Menteri Pemangku, Mahiaddin Yassin, yang tugasnya ialah memastikan pentadbiran terus berjalan lancar dan tidak membuat sebarang keputusan dasar yang baru, di samping Ketua Setiausaha Negara memberikan jaminan bahawa fungsi-fungsi kementerian tidak akan terganggu sepanjang proses pemilihan Perdana Menteri yang baru berlangsung.
Setakat ini, dilaporkan bahawa setiap ahli parlimen telah diarahkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk menyatakan sokongan mereka untuk diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selewat-lewatnya petang ini. Selain itu, sebuah mesyuarat membabitkan YDPA dan kepala-kepala parti politik berlangsung hari ini.
Ini dilihat sebagai sebahagian proses yang digunakan YDPA untuk menentukan siapa ahli dewan yang memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang dinyatakan Perlembagaan Persekutuan.
Proses ini, seperti mana kaedah yang digunakan pada Februari 2020, masih lagi membabitkan pernyataan sokongan individu di belakang tabir. Kita juga telah lihat kesan daripada proses pemilihan Perdana Menteri pasca-Langkah Sheraton yang tidak pernah secara terus dibuktikan melalui undian kepercayaan di Parlimen sehingga ke tarikh tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Mahiaddin.
Keperluan kerahsiaan antara ahli parlimen rentas dan sesama parti dalam hal pemilihan ketua pentadbiran ini sangat aneh, lebih-lebih lagi dalam keadaan kita perlukan seorang pemimpin berkaliber yang mampu menangani pelbagai aspek krisis hari ini: kesihatan, ekonomi, sosial, dan politik, dan mampu membina jambatan politik antara kelompok-kelompok sedia ada. Sebaliknya, kaedah ini masih menganggap bahawa kecenderungan seseorang ahli parlimen itu akan bertahan, dan bilangan yang dinyatakan hari ini akan menggambarkan sokongan yang akan diterima apabila Perdana Menteri tersebut mula berkhidmat.
Pengajaran utama yang kita terima daripada Kerajaan Langkah Sheraton ialah pemimpin pandai beroperasi politik untuk mengumpul sokongan atas kertas bukanlah jaminan kepimpinan yang berkemampuan mengekalkan sokongan tersebut dalam tempoh memimpin. Malah, kehilangan sokongan atas sebab kegagalan mengurus negara dengan baik adalah perkara yang seharusnya berlaku, kerana ia memberi peluang untuk kita membetulkan hala tuju pentadbiran bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk.
Kita tidak perlu asyik mencari kaedah terbaik untuk menjawab soalan matematik siapa mempunyai jumlah sokongan terkuat, terutamanya sewaktu bilangan sokongan itu sangat sensitif terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan. Pada masa yang sama kita mahu mengelakkan pentadbiran demi pentadbiran tumbang kerana tidak mampu menjadi pengurus yang baik, dan masalah-masalah kita bertambah runcing. Selain itu, kita juga perlu elakkan keadaan masyarakat hilang kepercayaan terhadap saluran demokrasi berparlimen sebagai cara memilih pemimpin, dan membuka jalan kepada pemusatan kuasa yang penuh oleh golongan yang mempunyai cita-cita menjadi diktator.
Pada saat ini tidak ada satu kumpulan parti politik yang mempunyai majoriti mudah secara bersendiri, dan suasana ini dijangka akan berterusan. Fakta ini diakui oleh pemipin-pemimpin politik sendiri, dan digunakan sebagai modal tawar-menawar sesama sendiri. Ini bermaksud sesiapa yang dilantik menjadi Perdana Menteri masih perlu mendapatkan sokongan di luar daripada kelompok mereka, sebuah lagi lapis kerumitan yang perlu diambil kira. Perdana Menteri yang baru bukan sahaja perlu mempunyai kebolehan untuk mendapatkan sokongan daripada luar, tetapi dia juga perlu mampu untuk mengekalkan sokongan tersebut.
Dari segi ini, Mahiaddin sebagai Perdana Menteri telah membuktikan yang sebaliknya. Melalui Langkah Sheraton, dia telah berjaya mendapatkan majoriti parlimen melalui sokongan secara keseluruhan daripada UMNO, PAS, dan juga GPS, tetapi akhirnya majoriti itu hilang apabila UMNO menarik balik sokongan mereka (walaupun tidak dituruti sepenuhnya oleh ahli parlimen mereka). Alasan Mahiaddin bahawa dia tidak mahu bersekongkol dengan kelompok kleptokrat UMNO tidak masuk akal kerana dia menubuhkan Perikatan Nasional bersama-sama dengan mereka, dan sepanjang tempoh pentadbirannya beberapa pendakwaan kes rasuah besar membabitkan ahli politik berkaitan juga ditarik balik dan keputusan mahkamah tidak dirayu. PN yang disusun semula dengan sokongan terhad daripada luar juga tidak membawa kepastian terhadap kestabilan dalaman gabungan tersebut yang berasaskan idea kerajaan Melayu-Islam yang kukuh.
Tidak lupa juga bahawa kabinet PN yang besar melibatkan hampir 2/3 daripada jumlah ahli parlimen dalam gabungan tersebut di waktu mereka mempunyai sokongan yang tertinggi. Sesiapa yang menjadi calon pengganti daripada kalangan anggota kabinet ini turut bertanggung jawab atas kelemahan pengurusan yang berlaku sepanjang 17 bulan ini.
Mengambil kira faktor-faktor ini, YDPA akan melantik Perdana Menteri baru “yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”, seperti tertera dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebijaksanaan YDPA berdasarkan maklumat dan nasihat pakar yang diterima sangat penting bagi melantik seorang Perdana Menteri yang sesuai dan berkebolehan merangkul sokongan, dan sebaiknya membuktikan sokongan tersebut di Parlimen dalam kadar segera.
Perlembagaan tidak memperuntukkan secara jelas jalan menyelesaikan suasana yang sedang kita hadapi, dan juga lain-lain senario akan datang, yang membuka ruang untuk YDPA menggunakan kuasa budi-bicaranya untuk melakukan pemilihan yang terbaik, tanpa meninggalkan kerangka raja berperlembagaan. Kuasa tersebut tidak meminggirkan pendekatan bersifat kualitatif yang boleh digunakan seiringan dengan kaedah kuantitatif untuk tentukan sokongan, seperti yang kita telah lihat.
Keadaan semasa kita membawa banyak masalah dan situasi baru yang tidak dapat dihadapi berdasarkan corak fikiran dan amalan yang lazim dilakukan. Rakyat sudahpun lebih setahun menghadapi norma-norma baru yang membawa seribu satu perubahan dan penyesuaian dalam segenap aspek kehidupan seharian. Tiba masanya arena politik dan pentadbiran juga mula mengakui suasana baru ini secara langsung.