Mulanya bulan Ogos bermaksud terbatalnya proklamasi darurat yang dilakukan Yang Di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu.
Adakah ini bermaksud kuasa eksekutif sudah kembali kepada asal, dan proses demokrasi sudah kembali pulih? Buat masa ini, ia masih tidak jelas.
Undang-undang yang memberikan kuasa-kuasa luas kepada kerajaan sewaktu tempoh darurat ialah ordinan-ordinan darurat yang telah diwartakan, dan mereka kekal berkuat kuasa selama maksimum enam bulan dari tarikh tamat proklamasi darurat melainkan dibatalkan oleh YDPA atau Dewan Rakyat.
Hasil (atau akibat) persidangan khas yang berlangsung minggu lalu, persoalan terbatal atau tidak ordinan darurat masih tergantung, sehingga membawa kepada sebuah krisis perlembagaan.
Pertembungan yang berlaku antara kabinet Perikatan Nasional dan Istana Negara berkenaan kuasa pembatalan ordinan-ordinan tersebut bermaksud tiada kata putus tentang hal ini sehingga tarikh penulisan, dan ordinan-ordinan tersebut harus dianggap sebagai masih berkuat kuasa.
Selain penggantungan parlimen, ordinan-ordinan ini membenarkan kompaun maksimum RM10 ribu bagi kesalahan melanggar PKP, dan meletakkan had terhadap perlindungan guaman dan undang-undang.
YDPA melalui kenyataan Istana Negara (dan diperkuatkan dalam sebuah warkah kepada Perdana Menteri yang disebar) tidak memberi perkenan terhadap pembatalan ordinan-ordinan tersebut kerana mahukan mereka dibahaskan dan diungkaikan dalam parlimen, atas hujah kuasa menolak tersebut terletak bawah bidang kuasa Istana Negara.
Kerajaan PN pula berkeras bahawa YDPA harus mengikut nasihat jemaah menteri yang telah diberikan dan berikan perkenan.
Ini semua berlaku setelah Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan, mengumumkan bahawa ordinan-ordinan tersebut telah dibatalkan pada hari pertama sidang khas parlimen.
Walaupun terdapat usul untuk meminta kenyataan tersebut dibahaskan kerana mengelirukan dewan (seperti yang dimaklumkan YDPA), parlimen akhirnya ditangguhkan semula atas sebab COVID-19 sehingga bulan September. Itupun jika ia berlangsung.
Pentadbiran PN hari ini sudah tidak lagi ada hormat terhadap sebarang institusi kerajaan dan proses demokrasi. Ini cukup jelas dengan tindakan mengepung dan menutup semua jalan menuju parlimen hari ini untuk menghalang ahli parlimen pembangkang ke sana.
COVID-19 selama ini digunakan sebagai alasan untuk darurat tetapi keadaan hanya bertambah parah, tanpa ada jalan keluar yang meyakinkan daripada krisis kesihatan, ekonomi, dan politik yang berlarutan.
Amatlah tidak wajar untuk pentadbiran PN terus menduduki tampuk pemerintahan selepas ini, dan ruang mengemukakan usul tidak percaya harus dibuka segera.
#Lawan sudah keluar
Perhimpunan aman #Lawan berlangsung Sabtu lalu dengan menuruti SOP penjarakan fizikal dan perlindungan diri yang ketat.
Perhimpunan yang dihadiri lebih 1,000 peserta daripada golongan muda itu turut menerima kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa, meskipun tidak dibenarkan berhimpun di Dataran Merdeka.
Namun, polis juga telah mula mengenal pasti dan memanggil penganjur dan peserta untuk siasatan atas pelanggaran undang-undang pelan pemulihan negara.
Perhimpunan ini menyaksikan kemunculan politik Generasi Z secara massa dalam politik nasional.
Lebih mengagumkan ialah penganjuran dan mobilisasi hampir berlaku sepenuhnya dalam kalangan mereka sendiri, dengan sokongan minimum daripada badan-badan bukan kerajaan yang lebih berpengalaman.
Fenomena ini membezakan siri-siri himpunan #Lawan daripada acara-acara protes massa terdahulu, yang pada kebiasaannya dipandu oleh jaringan NGO dan aktivis besar ataupun parti-parti politik.
Antara sebab himpunan ini kurang mendapat sokongan luar daripada lingkungan Gen-Z ialah kerana risiko berhimpun di kala pandemik.
Tidak dinafikan, risiko jangkitan akan tetap ada meskipun garis panduan yang paling ketat diamalkan, namun insiden-insiden protes yang berlangsung di Amerika, Thailand, dan Eropah juga menunjukkan bahawa mereka tidak menjadi acara super-spreader.
Ini kerana risiko berkumpul di lapangan yang terbuka dengan memakai pelitup muka di luar jauh lebih kecil daripada berkumpul dalam bilangan yang jauh lebih kecil dalam sebuah rumah untuk bermesyuarat selama separuh hari.
Pada tahap semasa, kita tidak mungkin capai kosong bilangan jangkitan baru sehari seperti tahun lalu maka kita perlu mula mencari cara-cara untuk kembali bekerja, berniaga, bersosial dan berdemokrasi secara bertanggungjawab dan munasabah.
Kita tidak boleh terus hidup seolah-olah dunia telah terhenti kerana COVID-19, lebih-lebih lagi kerana kesannya terhadap nyawa, pendapatan, dan emosi masyarakat sudah jelas terserlah.
Anak Muda di Negara Lain Juga Melawan
Tema kekecewaan terhadap kelompok politik, terutamanya oleh golongan muda yang paling terkesan, semakin ketara akibat pandemik.
Masa depan yang samar dan kelemahan sistem pentadbiran secara keseluruhan untuk membantu membawa kepada ketidakpercayaan terhadap institusi-institusi pemerintahan dan amalan demokrasi yang dilihat sebagai ruang untuk pihak berkepentingan berebut sesama sendiri.
Ini menjadikan orang mudah teruja dengan tindakan anti-demokratik yang tampak populis untuk mengelakkan proses politik dan semak imbang, atas alasan menjaga kebajikan rakyat.
Negara yang dianggap contoh Arab Spring yang berjaya, Tunisia, menyaksikan Presiden Kais Saied melakukan rampasan kuasa dengan menggunakan kuasa darurat beliau untuk menggantung parlimen setelah berlaku protes berpanjangan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Hichem Mechichi yang didukungi parti Ennahda.
Warga Tunisia tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Mechichi mengurus COVID-19, yang telah mengakibatkan negara tersebut memiliki antara kadar kematian per kapita yang tertinggi.
Ekonomi Tunisia juga mengalami kelembapan berpanjangan meskipun telah melalui 9 perubahan kerajaan sejak revolusi 2011.
Kedua-dua Presiden Saied dan Ennahda mempunyai sokongan pengundi Tunisia melalui pilihan raya presiden, dan pilihan raya parlimen, masing-masing, dan keduanya mempunyai sokongan yang meluas dalam masyarakat.
Tindakan anti-demokratik Saied menerima sokongan ramai antara lain kerana kekecewaan masyarakat terhadap kelas politik negara tersebut, dan kelemahan pentadbiran yang berlarutan.
Pada masa yang sama, ramai yang menolak dan menyifatkan tindakan presiden tersebut sebagai kembali ke era diktator Ben Ali.
Saied menyatakan bahawa dia hanya mahu menstabilkan keadaan dan akan memulihkan parlimen apabila keadaan sudah tenteram.
Seperti kita tahu, dan acap kali diulang sejarah, biasanya janji tersebut hanya tinggal janji akhirnya.