1. Persidangan khas parlimen bermula 26 Julai, khas untuk siapa?
Akhirnya, ahli Parlimen akan berkumpul untuk sebuah persidangan khas bermula 26 Julai. Menurut aturan urusan mesyuarat, persidangan tersebut akan melibatkan sesi penerangan daripada PM, DPM, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan berkaitan hal-hal COVID-19 dan Pelan Pemulihan Negara. Meskipun dikatakan ada sesi soal-jawab, tanpa ada perbahasan usul yang sebenar dan undian, apa motif sesi ini? Sesi biasa akan bermula bulan September, jauh terlalu lambat memandangkan keadaan sudah sangat buruk terutamanya di Lembah Klang. Aksi silap mata ini hanya akan meningkatkan kehampaan rakyat terhadap kerajaan dan sistem demokrasi sedia ada
2. Kempen #lawan diteruskan, dan terus ditekan
Konvoi bendera hitam berlangsung pada 24 Julai, yang mengambil tempat di beberapa bandar di seluruh negara. Berlangsung secara aman, dan merupakan sambungan kempen #lawan anjuran Sektretariat Solidariti Rakyat menuju kepada perhimpunan aman Sabtu hadapan. Pihak polis telah memanggil lebih 30 peserta yang memandu kereta menurut SOP untuk diambil keterangan, tanpa menjelaskan apa kesalahan mereka.
Pada masa yang sama, terdapat kegelisahan perbezaan pendapat akan kewajaran berhimpun pada waktu ini, memandangkan kes semakin meningkat, kadar kejangkitan varian delta yang jauh lebih tinggi, dan keadaan hospital yang sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit. Pandangan pro-himpunan ialah dengan berpandukan amalan dan panduan berhimpun di luar yang ketat dan mengelakkan keadaan bersesak, risiko dapat dikurangkan. Sudah tentu, perhimpunan ini tidak mendapat restu pihak berkuasa. Namun, dengan keterbatasan ruang-ruang lain termasuk parlimen, tindakan seperti ini diperlukan untuk meletakkan tekanan terhadap kerajaan. Penganjur perlu memastikan risiko telah dinilai sebaiknya, dan kaedah berhimpun itu tidak membawa kesan yang lebih buruk kepada peserta dan perkhidmatan kesihatan.
3. Perkembangan hartal doktor kontrak
Hartal akan diteruskan hari ini, susulan pengumuman PM berkenaan lanjutan kontrak dan kesetaraan cuti belajar dan hadiah latihan persekutuan untuk sambung pelajaran yang digambarkan sekadar gula-gula sahaja. Pihak hartal berkata keputusan tersebut masih tidak menjawab masalah pokok iaitu kelangsungan kerjaya dan layanan terhadap doktor kontrak, masalah yang telah wujud sejak 2016. Waroeng Baru berpandangan bahawa kerajaan perlu pertimbangkan tindakan serius untuk mendapatkan penyelesaian jangka masa panjang, melalui perancangan dan penggunaan sumber secara lebih berkesan dan pelaburan yang besar ke dalam perkhidmatan kesihatan yang sangat diperlukan.