
Waroeng Baru memberi sokongan penuh kepada kempen Bendera Hitam dan 3 tuntutan yang disampaikan Sekretariat Solidariti Rakyat, iaitu:
- TS Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Perdana Menteri serta merta
- Buka parlimen dengan kadar segera
- Tamat darurat
Kelompongan kepimpinan dan kegagalan penggubalan dasar yang berkesan dan berperikemanusiaan harus dihadapi segera secara drastik, bermula dengan mengganti ketua cabang eksekutif kerajaan.
Kami mendukung keluhuran perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen negara bukan sahaja sekadar menghormati teks, tetapi juga matlamat institusi-institusi tersebut bagi memelihara kepentingan dan memberikan suara kepada warga negara secara teratur. Pihak kerajaan pula diberi amanah untuk memenuhi tanggungjawab mereka sebaik mungkin, dengan ruang-ruang untuk mengawas dan mempersoalkan dasar dan tindakan mereka.
Apabila perjanjian sosial tersebut dilanggar dengan berselimutkan dalil-dalil perundangan dan proses, masyarakat berhak untuk melakukan aksi untuk memulihara matlamat-matlamat asal institusi tersebut. Lebih-lebih lagi apabila siri kegagalan dasar yang berlaku melibatkan kematian ribuan warga, putusnya punca pendapatan untuk ramai lagi, kelumpuhan sistem perkhidmatan kesihatan, dan kepupusan sektor perusahaan kecil dan sederhana. Masyarakat harus bertindak segera bagi mengelakkan bencana yang lebih besar.
Tekanan dan tuntutan secara massa harus diadakan secara bersasaran, berterusan, berkesan, sehingga kerajaan memenuhi amanah yang mereka galas. Usaha kebajikan ad-hoc yang dilakukan NGO dan wakil-wakil rakyat sangatlah diperlukan sekarang tetapi ia hanya merawat gejala akibat masalah sebenar, iaitu kegagalan dasar dan perancangan. Pembuat dasar dan pemegang jawatan tertinggi dalam kerajaan perlu bertanggungjawab, dan meletakkan jawatan seandainya mereka tidak boleh menjalankan tugas dengan baik.
Waroeng Baru sebagai kolektif kerdil sedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk tujuan ini, dan menyeru keseluruhan masyarakat sivil, kesatuan, kolektif dan komuniti untuk bertindak secara bersatu dan berani dalam menghadapi krisis terburuk generasi ini.
#Lawan
One thought on “UNDUR, BUKA, TAMAT”