Berlaku adillah kepada pekerja ekonomi gig

Oleh Lutfi Hakim Ariff

Tidak lama dulu, hanya terdapat satu nombor telefon yang perlu dihafal untuk pesanan makanan. Tidak susah untuk ingat nombor talian tersebut kerana terdapat lagu iklan yang sering dimainkan di tetuang radio pada waktu itu. Bilangan digit dalam nombor telefon itu pun kurang daripada sekarang dan berpadan dengan baik dengan melodi yang hanya beberapa saat panjangnya. Anda boleh pilih sama ada mahu pesan pelbagai jenis piza, roti bakar bawang putih, atau hidangan pasta mudah yang cukup menyeronokkan pada waktu itu, lebih-lebih lagi apabila ia dihantar sampai ke depan rumah. Wah menakjubkan!

Perkhidmatan pesanan makanan hari ini jauh lebih banyak. Ada yang masih dikendalikan oleh restoran-restoran itu sendiri, tetapi acap kali ia disediakan melalui aplikasi penghantaran makanan popular yang merupakan asas ekonomi serba mudah. Pengguna hari ini dapat membuat pesanan makanan, membeli-belah dan mengupah macam-macam jenis perkhidmatan pada bila-bila masa, di mana saja, dan sebagaimana yang mereka inginkan, dan ini semua disampaikan oleh ratusan ribu manusia yang berkejar-kejaran merentas bandaraya-bandaraya kita. Seperti banyak perkara, PKP dan pandemik telah mempercepatkan penerimaan perkhidmatan penghantaran oleh perniagaan dan pengguna, namun ia telah mula berkembang pesat sebelum itu lagi.

Masakan tidak. Mengapa mahu habiskan masa memandu, mencari tempat letak kereta, dan pelbagai kepayahan menanti makanan di luar sedangkan boleh saja membidik-bidik telefon sebentar dan teruskan berehat di rumah. Promosi yang bermacam-macam juga disuakan untuk memberi anda potongan harga buat pesanan, dan pada masa yang sama mengumpul mata yang melayakkan anda untuk lebih banyak promosi di masa hadapan. Tak susah untuk buat pilihan, dan ini semua bermula sebelum era Covid. Setelah munculnya virus tersebut, duduk di rumah bukan sahaja satu pilihan, malah ia merupakan arahan daripada pihak berkuasa yang turut menyuruh kita memesan makanan melalui aplikasi-aplikasi ini untuk melandaikan lengkung jangkitan.

Mahkamah Agung UK baru-baru ini memutuskan bahawa pemandu Uber perlu diklasifikasikan sebagai pekerja, dan bukan ‘kontraktor bebas’.

Mereka menolak rayuan Uber atas lima factor:

1)      Uber menetapkan harga dan para pemandu tidak dibenarkan untuk mengenakan caj yang lebih

2)      Pemandu perlu patuh kepada syarat yang dikenakan Uber apabila menjalankan perkhidmatan

3)      Kebebasan pemandu dalam menerima atau menolak permintaan perjalanan dikekang dan boleh dikenakan penalti;

4)      Pemandu dikehendaki melakukan perkhidmatan mereka kepada satu piawai yang diseliakan melalui sistem pengkadaran (rating) atau perkhidmatan ditamatkan

5)      Pemandu tidak dibenarkan berkomunikasi dengan penumpang lebih daripada yang perlu, dan terdapat Langkah-langkah yang dikenakan untuk mengelakkan perhubungan yang melebihi satu perjalanan.

Mahkamah tersebut menjelaskan bahawa kerana faktor-faktor ini, pemandu berada dalam kedudukan lebih bawah dan bergantung kepada Uber, dan satu-satunya cara untuk mereka meningkatkan pendapatan ialah dengan bekerja lebih lama menurut syarat perkhidmatan yang diadakan.

Sebagai pekerja, mereka mesti diberikan hak pekerja yang termaktub dalam undang-undang UK seperti gaji minima, cuti berbayar, tempoh berehat, dan cuti sakit. Ini memberikan kesan kepada perkhidmatan dan syarikat ekonomi gig di UK yang beroperasi dengan cara yang sama. Keputusan mahkamah ini hasil perancangan dan usaha selama bertahun oleh pekerja ekonomi gig, dan hanya salah satu daripada keputusan yang sepertinya.

Negeri California di USA juga telah mempersetujui Assembly Bill 5 pada tahun 2019, sebuah undang-undang yang menetapkan syarat-syarat yang sama untuk mengklasifikasikan pekerja gig sebagai pekerja dan menerima hak pekerja. Namun begitu, Proposition 22 telah mengetepikan undang-undang ini setelah menerima 58% undi sokongan daripada pengundi dalam negeri. Oleh kerana itu, pekerja gig boleh dianggap sebagai kontraktor bebas semula, dengan beberapa kompromi seperti insurans kesihatan yang disubsidi dan jaminan kadar upah per jam. Platform-platform aplikasi gergasi berkempen dengan mengatakan bahawa menganggap pekerja gig sebagai pekerja mereka akan merosakkan model perniagaan mereka, dan menyebabkan peningkatan kos yang akan ditanggung pengguna. Sebagai kontraktor bebas, mereka boleh menjadi ‘bos sendiri’ dan bekerja mengikut kemahuan mereka.

Ini secara teknikalnya benar, namun hari ini ramai pekerja gig melakukannya sebagai kerja sepenuh masa, kadang-kadang sampai tujuh hari seminggu. Sebuah tinjauan daripada The Centre pada tahun 2019 melaporkan 54% pekerja gig bergantung kepada kerja tersebut sebagai sumber pendapatan utama, atau satu-satunya sumber pendapatan, dan kebanyakan mereka bekerja lebih daripada 8 jam sehari, lima hari seminggu. Seperti yang dinyatakan keputusan mahkamah British tadi, mereka semua tertakluk kepada syarat dan keperluan yang ‘mendorong’ sebuah paras pencapaian, dan boleh dihukum jika melanggarnya atau tidak mencapai sasaran. Akses mereka boleh dimatikan dan dihalang daripada platform secara sepihak, dengan ruang aduan yang terhad.

PKP yang bergantian memberikan kesan buruk kepada banyak perniagaan dan memaksa mereka melepaskan pekerja dan memotong gaji, dan perkhidmatan-perkhidmatan penghantaran ini telah memberikan tali untuk bergantung bagi ramai orang yang perlu cara baru untuk mendapatkan sesuap nasi. Kawalan pergerakan juga bermaksud bahawa mereka yang sudah berada dalam perkhidmatan tersebut sebagai pemandu kini juga turut mengejar untuk mendapatkan trip penghantaran dan tips. Dalam Kawasan bandar dengan ramai orang yang bekerja dari rumah, tidak susah untuk mendapatkan pemandu sama ada kereta ataupun motosikal untuk memenuhi sebarang permintaan penghantaran, baik makanan, barangan, atau menghantar pakej.

Mungkin pasaran pekerjaan yang lembab telah melenyapkan perbincangan tentang baik buruk perkhidmatan penghantaran segera. Hari ini jumlah pekerjaan baru yang dicipta mengecil, dan untuk sebarang kekosongan, ratusan akan serta merta membuat permohonan. Perkhidmatan penghantaran segera mungkin kerja yang kurang dihargai, meletihkan, dan mendedahkan anda kepada risiko berada di jalan raya untuk sebegitu lama, namun ia masih sebuah pekerjaan. Namun jika sakit, kenderaan rosak, atau berlaku apa sahaja kejadian yang menghalang anda daripada bekerja, anda tidak akan menjana sebarang pendapatan.

Hal-hal ini telah disuarakan sebelum ini, dan selewat Belanjawan 2021 kita telah diberitahu bahawa Langkah-langkah bakal diambil untuk menambah baik suasana pekerjaan dan hak pekerja untuk ekonomi gig. Sehingga hari, selain pengenalan skim sekuriti sosial secara sukarela dan peluang membina kemahiran baru, kita masih menanti perancangan khusus bagi meningkatkan pelindungan undang-undang buat golongan ini. Pada masa yang sama, bilangan orang yang bekerja dalam sektor ini dipercayai sekitar 400,000 orang, dan dijangka meningkat.

Ekonomi serba mudah ini bertulangbelakangkan usaha dan jerih-perih ramai manusia dan haruslah dihargai selayaknya. Pemandu dan rider telah diklasifikasi sebagai pekerja perlu dari hari-hari awal PKP, dan mereka sepatutnya dilayan dengan lebih baik, dan menerima pelindungan dan pampasan yang baik, lebih-lebih lagi dalam keadaan pembangunan ekonomi tersumbat dan kekurangan peluang pekerjaan dengan bayaran dan pelindungan yang baik. Ketidakseimbangan pendapatan tidak boleh dibiarkan menular melalui kemudahan ini, apabila satu golongan manusia tidak dapat hidup tanpa perkhidmatan-perkhidmatan ini, manakala golongan yang lain tidak dapat hidup tanpa menawarkan perkhidmatan mereka. Kita perlu jujur dan bertanya sama ada adilkah para pemandu dan rider berkejar-kejaran sepanjang hari untuk mengejar pesanan untuk beberapa ringgit setiap satu, hanya untuk mendapatkan pampasan yang kecil, ketika menghantar pesanan makanan yang kadangkala bernilai ratusan ringgit.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: