Menghindar malap kita

Malaysia perlu melabur dalam industri untuk mencipta peluang pekerjaan yang dicari oleh warga Malaysia. Kita perlu mengukuhkan sektor-sektor strategik tempatan kita, seperti pemakanan, pembuatan, pertahanan, penjanaan kuasa alternatif, pengangkutan awam, dan pendidikan, yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan tetapi turut memastikan kita membangun secara mampan, dan tidak semata-mata berasaskan kos pembuatan terendah.

oleh Lutfi Hakim Ariff

Malaysia mempunyai sistem kebajikan masyarakat untuk warganegara yang bersifat menyeluruh. Melalui sistem ini, pemerintah menyediakan perkhidmatan kesihatan, perlindungan di tempat kerja, pelaburan hari tua untuk pekerja sektor swasta dan awam, pendidikan peringkat rendah dan menengah yang hampir percuma, dan bayaran bantuan pendapatan buat golongan sasaran. Walaupun sosok pemerintah berubah-ubah, perkhidmatan-perkhidmatan ini diteruskan dan ditambah baik dari masa ke semasa. Permohonan dan kaedah penerimaan bantuan juga dipermudahkan, jika tidak automatik berdasarkan maklumat yang dimiliki institusi pentadbiran.

Pada masa yang sama, sistem-sistem ini dirangka dan dibina berdasarkan sebuah sistem ekonomi yang kian rapuh. Lebih ramai yang bekerja secara kontrak, dan tidak lupa pekerja ekonomi gig yang tidak dianggap sebagai pekerja mana-mana syarikat. Ini ditambah lagi dengan perubahan ketara komposisi pekerja dan penduduk kita yang kini termasuk jutaan migran sama ada berstatus rasmi mahupun tidak. Perubahan struktur ekonomi itu sendiri, iaitu peralihan Malaysia dari ekonomi berasaskan pembuatan kepada perkhidmatan, juga memberi kesan kepada jenis pekerjaan yang ada dan tahap pendapatan yang ditawarkan. 

Sistem kebajikan masyarakat kita, baik program bantuan pendapatan, sistem pendidikan, mahupun perkhidmatan kesihatan, kini perlu menanggapi perubahan-perubahan ini supaya lebih sesuai dengan keadaan semasa. Bukan sahaja daripada jumlah yang diperuntukkan, tetapi juga struktur program dan institusi itu sendiri. Kita perlukan kajian semula terhadap undang-undang, mekanisme, dan matlamat yang telah membentuk inisiatif-inisiatif tersebut dan merombak dengan lebih pesat agar kita dapat mengurangkan bilangan yang terpinggir. 

Perbincangan ini semakin rancak di peringkat antarabangsa, dan ada kalanya telah berlaku selama berdekad lamanya. Antara contoh terkini ialah pengenalan jaminan pendapatan minima oleh pemerintah Sepanyol untuk memastikan pendapatan bulanan sekurang-kurangnya 462 Euro untuk individu dan sehingga 1,140 Euro bagi keluarga. Selain itu, penerapan dasar perkhidmatan kesihatan berasaskan pencegahan juga dapat mengurangkan beban terhadap sistem sedia ada dan meningkatkan kualiti hidup penduduk. Ini perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk reka bentuk bandar, capaian perkhidmatan yang baik, dan insentif agresif terhadap majikan untuk menyediakan suasana bekerja yang sihat tanpa mengira status pekerjaan atau kewarganegaraan. 

Sudah tentu ini memerlukan kos untuk dilaksanakan. Kegawatan ekonomi akibat pandemik ini beri kesan negatif terhadap pendapatan pemerintah, tetapi ia tidak bererti pemerintah harus beralih ke dasar penjimatan (austerity). Itu akan menjadikan suasana lebih teruk untuk semua orang. 

Malaysia perlu melabur dalam industri untuk mencipta peluang pekerjaan yang dicari oleh warga Malaysia. Kita perlu mengukuhkan sektor-sektor strategik tempatan kita, seperti pemakanan, pembuatan, pertahanan, penjanaan kuasa alternatif, pengangkutan awam, dan pendidikan, yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan tetapi turut memastikan kita membangun secara mampan, dan tidak semata-mata berasaskan kos pembuatan terendah. Pelaburan dalam sektor tidak produktif seperti hartanah, dan pengewangan (financialisation) ekonomi yang keterlaluan haruslah ditegah, selain menstruktur semula sistem percukaian supaya ia lebih saksama buat semua. 

Malangnya kita tidak dapat lari daripada keutuhan kehendak politik (political will) bagi memungkinkan perubahan-perubahan ini. Pada waktu ini, politik kita telah mundur ke belakang dan terlalu tertumpu kepada persaingan antara personaliti tanpa visi yang jelas. Penerusan atau perubahan gerombolan yang memerintah tidak akan dapat memberi kestabilan yang berpanjangan selagi suasana ini berterusan. Ini dikeruhkan lagi dengan dana politik yang berpunca daripada sumbangan-sumbangan taikun dan korporat yang mahu menjaga kepentingan mereka. Gerakan politik perlu beralih kepada menjual wawasan jelas yang menjadikan kehidupan penduduk Malaysia lebih baik, dan memobilisasikan warga secara aktif jika kita mahu maju ke depan. 

Waroeng Baru ialah sebuah kolektif yang memperjuangkan masyarakat mandiri, bermaruah dan bermartabat. Sumbangan anda akan membantu merealisikan wawasan ini. Jadilah penyokong Waroeng Baru melalui https://www.patreon.com/waroengbaru

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: