Transgender, seperti juga manusia lainnya sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Sekalipun sepanjang hidup, mereka didosakan oleh masyarakat tetapi Tuhan tetap hadir kepada mereka dengan caranya yang tersendiri. Tidak sedikit rakan-rakan transgender yang saya temui bersolat, membaca Al-Quran dan melazimi ritual-ritual agama lainnya. Kasih-sayang Tuhan dirasakan dengan adanya doa-doa mereka yang terjawab, mungkin itulah tanda Tuhan menerima mereka walaupun kebanyakan manusia mencemuh dan memandang hina mereka.
oleh Afiq M Nor
“Nok…betul ke orang macam mak ni Allah masih sayang? Semua kata orang macam mak berdosa…” begitulah pertanyaan Anne, seorang pekerja seks transgender, seusai saya menyampaikan perkongsian tentang transgender dan Islam beberapa tahun lalu di Kuala Lumpur. Anne tidak segan menunjukkan kepada saya kalung berbentuk salib yang dipakainya. “Mak sebenarnya rasa berdosa pakai cross ni tapi kalau tak pakai, Jabatan Agama suka kacau mak. Mak Islam nok…” kata Anne lagi. Ini bukan cerita dongeng atau rekayasa untuk meraih simpati. Ini kisah nyata yang terjadi hampir setiap hari kepada komuniti transgender di Malaysia.
Menjadi seorang transgender bukanlah satu pengalaman yang menyeronokkan seperti yang digambarkan kebanyakan orang — menggayakan pakaian berjenama setiap masa, ber’posing’ di restoran mewah dan hotel berbintang lima, ber’maserati’ atau ber’beemer’ ke sana-sini. Sebaliknya, hampir setiap hari mereka dijamu dengan diskriminasi, penindasan, penolakan dan kekerasan baik secara fizikal, mental mahupun spiritual. Bayangkan, merasa diri berdosa setiap hari, dibuang oleh keluarga, sulit mendapatkan pekerjaan, akses kepada tempat ibadah yang terbatas, kemudahan layanan kesihatan yang diskriminatif dan banyak lagi semata-mata kerana menjadi diri mereka sendiri. Ya, menjadi diri mereka sendiri.
Tahun ini sahaja dilaporkan sekurang-kurangnya dua orang transgender yang telah mati dibunuh selain banyaknya kes-kes jenayah berunsur kebencian direkodkan terhadap komuniti transgender di Malaysia. Itu belum lagi kita bercakap tentang undang-undang, polisi dan penguatkuasaan yang zalim dan diskriminatif terhadap komuniti transgender.
Transgender Dalam Teks-Teks Klasik Islam
Transgender dan Islam sering dilihat berseberangan oleh ramai orang termasuk yang memakai jubah agama. Bahkan agama seringkali disandingkan dengan praktik diskriminasi, kriminalisasi dan pengurangan harkat kemanusiaan seorang transgender. Tafsiran-tafsiran keagamaan dan fatwa-fatwa seolah-olah hanya ‘one-way street’ yang lebih senang mengharamkan serta mendosakan transgender sehingga tafsiran dan pendapat keagamaan yang berbeza dianggap sesat, liberal dan tidak menepati kehendak Tuhan.
Keragaman gender dan seksualiti bukanlah sesuatu yang taboo di dalam teks-teks fiqh Islam. Selain lelaki dan perempuan, para ulama juga membahas tentang khuntsa (interseks), mukhannats (transgender perempuan), mutarajjilat (transgender lelaki), amrad dan ghulam atau ghilman yang tidak hanya berkelindan pada alat kelamin semata-mata tetapi juga ekspresi dan identiti gender. Walaupun kelihatannya progresif pada satu sisi, malangya kajian-kajian fiqh ini masih lagi kelihatan statik dan tidak berkembang dari konsep binari gender dan seksualiti serta tidak merespon kepada temuan-temuan baru dalam ilmu sains perubatan, psikologi serta pengalaman hidup transgender.
Misalnya dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Aishah RH, ada seorang mukhannats yang sering masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW dan bergaul dengan para isteri Rasul. Menurut Aishah lagi, mereka menganggap mukhannats tersebut sebagai ‘ulil irbah min al rijal’ seperti yang disebutkan oleh Al-Quran di dalam Surah Al Nuur ayat 31, iaitu lelaki yang tidak mempunyai ketertarikan seksual kepada perempuan. Dikatakan sewaktu Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah untuk bertemu dengan isterinya, baginda mendengar mukhannats tersebut menceritakan perihal tubuh seorang perempuan sehingga baginda kemudian bertindak menghalau mukhannats tadi dan tidak membenarkan dia masuk lagi ke dalam ruangan isteri Rasulullah SAW seperti kebiasaannya.
Tidak berhenti di situ, Ummu Salamah RH dalam Sahih Bukhari juga menceritakan hal yang hampir sama dan seperti biasa, hal ini telah mengundang perbahasan ulama. Para ulama sewaktu mendiskusikan tentang mukhannats membahagikan mereka kepada dua kategori. Pertama, ‘bi al-khilqah’ atau di dalam sebahagian teks disebut ‘min ashl al-khilqah’ iaitu mukhannats secara semulajadi samada disebabkan oleh faktor genetik ataupun psikologi. Kedua, ‘bi al takalluf’ iaitu yang dibuat-buat atau ikhtiyari (pilihan) dengan tujuan untuk melihat aurat perempuan seperti yang dikhawatirkan oleh Nabi SAW di dalam kedua-dua hadith di atas.
Ternyata realiti keberadaan transgender sudah wujud sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi. Bahkan diceritakan di dalam kitab Tamhid Lima Fi Al-Muwattha’ Min Al-Ma’ani Wa Al-Asanid, bahawa di rumah Rasulullah SAW terdapat seorang mukhannats yang menjadi hamba dan bebas untuk keluar dan masuk menemani isteri Rasulullah SAW.
Yang perlu digarisbawahi, Rasulullah SAW mengeluarkan mukhannats dalam kedua-dua hadith yang dinyatakan di atas tidak lain adalah kerana mukhannats tersebut mungkin tergolong dalam kategori yang kedua iaitu yang berpura-pura atau menyamar sebagai mukhannats bertujuan untuk melihat aurat perempuan dan bukan secara semulajadi. Kerana sebelum peristiwa tersebut Rasulullah SAW tidak pernah mempermasalahkan keberadaan mereka di dalam rumah baginda dan berinteraksi dengan isteri Rasulullah SAW.
Nah, sesuatu yang menarik untuk difikirkan, selepas kewafatan Rasulullah SAW, Umar Al Khattab pernah mengusir dua orang pemuda tampan bernama Nasr Bin Hajjaj dan Abu Zuaib ke Basrah. Tetapi tidak ada ulama yang menjenayahkan atau sekurang-kurangnya mengharamkan ketampanan lelaki atau kecantikan perempuan sehingga harus dibuang negeri atau dikeluarkan dari rumah seperti yang terjadi kepada transgender.
Mengulas perkara ini, Al Sarkhasi di dalam Al-Mabsuth dan Ibn Taymiyah di dalam Majmu’ Al-Fatawa menyatakan, tindakan Rasulullah SAW mengasingkan mukhannats bernama Hit dan tindakan Umar mengasingkan Nasr Bin Hajjaj ke Basrah adalah untuk kepentingan awam. Ianya merupakan salah satu bentuk perlindungan kepada masyarakat sebelum terbukanya pintu kejahatan dan tindakan tidak bermoral.
Cuma saya terfikir, selama hampir sebelas tahun saya berteman dengan rakan-rakan transgender, yang membuka pintu-pintu diskriminasi sehingga menyukarkan mereka mendapat pekerjaan, layanan yang manusiawi, ugutan, cacian dan kekerasan yang menghilangkan nyawa dan kehormatan mereka adalah fatwa-fatwa dan tafsiran keagamaan yang heteronormatif. Bukankah ini juga satu bentuk kejahatan? Berapa ramai lagi yang harus terkorban?
Berdamai Dengan Tuhan
“Sampai sekarang saya merasa transgender itu bukan pilihan hidup. Kalau itu pilihan hidup dan saya disuruh memilih, saya tidak mahu menjadi transgender. Tapi itu bukan pilihan. Allah mentakdirkan saya menjadi begini dan saya bersyukur…” kata M, seorang transgender.
Transgender, seperti juga manusia lainnya sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Sekalipun sepanjang hidup, mereka didosakan oleh masyarakat tetapi Tuhan tetap hadir kepada mereka dengan caranya yang tersendiri. Tidak sedikit rakan-rakan transgender yang saya temui bersolat, membaca Al-Quran dan melazimi ritual-ritual agama lainnya. Kasih-sayang Tuhan dirasakan dengan adanya doa-doa mereka yang terjawab, mungkin itulah tanda Tuhan menerima mereka walaupun kebanyakan manusia mencemuh dan memandang hina mereka.
Mungkin sudah tiba masanya transgender merampas kembali wacana tentang Tuhan, tubuh dan kewujudan mereka. Masa untuk berdamai dengan Tuhan. Berapa ramai lagi transgender yang harus terkorban hanya kerana menjadi dirinya sendiri? Al-Fatihah kepada transgender yang telah mendahului kita. Tabik dari saya!
Wahai Tuhan, sesungguhnya hambamu telah menyampaikan.
Waroeng Baru ialah sebuah kolektif yang memperjuangkan masyarakat mandiri, bermaruah dan bermartabat.