
Wabak COVID-19 tidak akan serta merta hilang di hujung 2020, dan pemulihan penuh dijangka akan mengambil masa jauh lebih lama. Memandangkan ini tempoh yang lama, kita perlu pertimbangkan sebuah kehidupan bersama dengan COVID-19. Ini bermaksud kita tidak menanti virus ini lenyap sebelum membenarkan aktiviti-aktiviti kehidupan manusia, tetapi mengamalkan langkah-langkah bagi mengelakkan ia daripada merebak secara tidak terkawal.
oleh Lutfi Hakim Ariff
Dalam usaha untuk mengawal pandemik ini, langkah-langkah yang diambil telah memberikan kesan yang mendalam terhadap kehidupan ramai orang. Perniagaan-perniagaan kekurangan pelanggan, pembekal kurang permintaan, ramai hilang punca pendapatan, negara kekurangan hasil. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melaporkan lebih 30,000 perusahaan kecil sederhana (PKS) telah gulung tikar sejak PKP bermula pada bulan Mac 2020, dan lebh 70% merupakan PKS mikro[1].
Itu hanya daripada sudut ekonomi, belum lagi apabila kita mengambil kira aspek-aspek lain seperti semangat kemasyarakatan, kepercayaan terhadap institusi, pendidikan, dan kesihatan mental. Banyak masalah yang perlukan perhatian dan pertimbangan sewajarnya dalam memastikan masalah COVID-19 ini tidak melumpuhkan perkhidmatan kesihatan awam kita.
Baik sektor ekonomi, pendidikan, atau rekreasi, semua ini tidak mungkin diletakkan dalam keadaan sejuk beku buat tempoh yang panjang. Ini bukan pilihan yang munasabah, melainkan kita mempunyai cara untuk menghadapi krisis-krisis tambahan hasil daripada usaha kita untuk mengepung krisis yang sedang berlaku hari ini. Maklumlah, manusia ini bukan sahaja perlu makan, kerja, dan tidur. Kita juga perlukan interaksi, rekreasi, dan tidak lupa juga harapan untuk hidup dengan aman, dan masyarakat kekal sihat.
Dengan perkembangan-perkembangan ini, tidak jelas sama ada usaha untuk mengawal pandemik yang kita lakukan hari ini perlu sebegini ketat. Sudah ada beberapa pakar perubatan yang menyuarakan pandangan bahawa perlu ada pendekatan yang lebih bersasar berbanding perintah kawalan perkhidmatan di hampir seluruh negara. Ini bukan pandangan golongan marjinal, Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) sendiri mengisyaratkan bahawa perintah kurungan (lockdowns) bukanlah penyelesaian yang menyeluruh. Menurut WHO,
“[T]hese measures can have a profound negative impact on individuals, communities, and societies by bringing social and economic life to a near stop. Such measures disproportionately affect disadvantaged groups, including people in poverty, migrants, internally displaced people and refugees, who most often live in overcrowded and under resourced settings, and depend on daily labour for subsistence.”[2]
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), walaupun bukanlah perintah kurungan yang sepenuhnya, merupakan tindakan kecemasan untuk membeli masa untuk menyiapkan perkhidmatan kesihatan agar dapat mengesan, menyampingkan, menguji, dan merawat kes-kes COVID-19, dan pada masa yang sama mendidik dan menyediakan masyarakat untuk meningkatkan kawalan kendiri melalui pematuhan SOP.
Akademi Perubatan Malaysia (AMM) pula mengeluarkan kenyataan menggesa pemerintah mencari alternatif kepada PKPB meluas dan mengambil nasihat WHO untuk belajar hidup dengan virus COVID-19 bagi mengurangkan kesempitan rakyat yang sedang berlaku hari ini[3].

Kenyataan AMM ini masuk akal, lebih-lebih lagi dalam suasana banyak kawasan masih lagi mencatatkan jumlah kes yang rendah dan dalam kemampuan perkhidmatan kesihatan kawasan tersebut. Ini dikuatkan lagi dengan kejayaan SOP yang dikenakan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengelakkan 3S, iaitu suasana sesak, sempit tanpa aliran udara yang baik, dan bersembang dekat. Kita lihat kadar penularan COVID-19 kekal rendah dalam tempoh antara tamatnya PKPP bulan Jun sehingga PKPB dikenakan semula apabila kes berganda setelah tamatnya pilihanraya negeri Sabah. Pendekatan ini mirip dengan pendekatan Jepun yang memilih untuk tidak cuba menghapuskan COVID-19, sebaliknya cuba mengawal kadar rebakan virus tersebut daripada kluster-kluster jangkitan.
Buat kebanyakan negeri (kecuali Sabah, Selangor, dan Negeri Sembilan) pada masa ini, bilangan zon hijau (tiada kes COVID-19) dan kuning (1-20 kes) jauh lebih banyak daripada zon jingga dan merah, tetapi pelaksanaan PKPB meletakkan syarat ketat yang sama terhadap semua kawasan tanpa mengira jumlah kes yang ada. Syarat-syarat PKP yang meminta orang ramai untuk kekal di rumah kecuali untuk urusan penting, penjarakan fizikal yang ketat, penutupan sekolah dan kolej serta lain-lain syarat menyebabkan gangguan yang besar. Di kawasan-kawasan hijau ini adakah langkah berjaga-jaga yang sebegini tinggi diperlukan dan sesuai?
Malah keberkesanan vaksin yang dinanti-nantikan juga satu soalan yang belum terjawab. Dilaporkan bahawa vaksin ciptaan syarikat gergasi farmaseutikal, Pfizer, memerlukan rantaian sejuk (cold chain) sehingga -70 darjah selsius[4]. Ini bermaksud perkhidmatan kesihatan kebangsaan harus ada kemampuan menyimpan dan menyampikan vaksin tersebut ke seluruh negara yang berpadanan dengan keperluan penyimpanan suhu tersebut. Rantaian ini perlu dibina dan akan memerlukan perbelanjaan dan masa untuk disediakan, terutamanya untuk kawasan luar bandar dan pedalaman. Jika persediaan penyampaian vaksin ini akan mengambil masa, maka bagaimana kita mahu menghadapi ketidaktentuan akibat COVID-19 melampaui hujung tahun ini?
Jika sekatan pergerakan tidak dilonggarkan ia akan terus memberikan kesan besar kepada peniaga-peniaga dan SME, terutamanya dalam sektor perkhidmatan asas (i.e. restoran, kedai runcit, dsb.) yang menggaji ramai warga Malaysia. Kehilangan peluang-peluang pekerjaan ini akan menyebabkan kehilangan punca pendapatan terutamanya untuk golongan muda. Bagai jatuh ditimpa tangga, ramai orang muda bekerja dalam sektor ini kerana kurang peluang pekerjaan lain yang menawarkan gaji yang baik, termasuk mereka yang memegang ijazah dan diploma[5]. Apakah nasib mereka apabila peluang-peluang pekerjaan ini berkurangan secara ketara?
Jalan tengah diperlukan, antara kawalan pergerakan ketat yang perlahan-lahan membunuh ekonomi kita, dan strategi imuniti kelompok (herd immunity) yang membunuh secara literal. Kita perlu bersedia untuk benar-benar mengadakan sebuah norma baharu yang mengimbangi antara dua keperluan ini, dan pada masa yang sama membenarkan individu membina kehidupan walaupun masih dibayangi pandemik ini.
Pemerintah-pemerintah di seluruh dunia harus beralih pandangan tentang COVID-19 daripada sesuatu yang perlu dikalahkan secara total, kepada sesuatu yang perlu dikenali dan diurus secara bijaksana dan aman selagi sebuah penawar belum dapat ditawarkan secara meluas.
Pahit barangkali buat kita menerima tetapi kita harus bersedia untuk menghadapi sebuah kehidupan bersama dengan virus COVID-19. Ini bermakna kita tidak boleh menanti sebuah vaksin menjadi penawar kepada segala masalah yang hadir hasil daripada virus ini. Sedangkan hari ini sahaja kita tidak benar-benar tahu apakah vaksin-vaksin yang dijanjikan ini mampu menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi, atau adakah ia hanya mampu menjadi penyelesaian jangka pendek
Pada ketika ini, mungkin tiada sesiapa yang mempunyai jawapan yang baik kepada situasi ini, tetapi apa yang pasti pemerintah peringkat persekutuan tidak boleh bertindak sendirian. Kebijakan setempat juga perlu diambil kira dan kesepakatan harus ditingkatkan sesama masyarakat. Sesebuah daerah, malah mukim, perlukan kebolehan untuk menentukan paras kawalan yang diperlukan berdasarkan nasihat daripada pihak berkuasa dan mengambil kira keperluan kesihatan awam.
Ini juga bermaksud sistem-sistem sokongan perlu disediakan agar mereka yang berada di dalam sebuah kawasan kawalan masih dapat meneruskan kehidupan dengan gangguan yang kecil. Apabila kawasan kawalan lebih tertumpu dan kecil, pemerintah akan dapat menyalurkan bantuan dan perkhidmatan secara lebih berkesan dan mengurangkan ketirisan.
Langkah-langkah seperti ini tidak akan dapat menghilangkan ketidaktentuan yang sedang kita hadapi, lebih-lebih lagi sewaktu kita sedang menghadapi gelombang baru. Namun, hidup itu sentiasa dikelilingi ketidaktentuan dan sama ada kita bernasib baik atau tidak, kita hidup dalam sebuah tempoh yang mempunyai tahap ketidaktentuan yang jauh lebih tinggi dari biasa. Inilah norma baru yang kita hadapi. Lebih cepat kita membiasakan diri dengannya, lebih mudah untuk kita maju ke depan.
Waroeng Baru ialah sebuah kolektif yang memperjuangkan masyarakat mandiri, bermaruah dan bermartabat.
[1] FMT, “Parlimen diberitahu 32,000 PKS tutup akibat Covid-19”, 9 Nov 2020. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/09/parlimen-diberitahu-32000-pks-tamat-operasi-akibat-covid-19/
[2] WHO, “Coronavirus disease (COVID-19): Herd immunity, lockdown and COVID-19”, 15 Oct 2020. https://www.who.int/news-room/q-a-detail/herd-immunity-lockdowns-and-covid-19
[3] AMM, Malay Mail, “Choose a transparent middle path over CMCO — AMM”, 11 Nov 2020. https://www.malaymail.com/news/what-you-think/2020/11/11/choose-a-transparent-middle-path-over-cmco-amm/1921423
[4] Reuters, “Cold storage challenges could hamper distribution of Pfizer, Moderna COVID-19 vaccines – Fauci”, 12 Nov 2020. https://www.reuters.com/article/health-coronavirus-vaccines-distribution/cold-storage-challenges-could-hamper-distribution-of-pfizer-moderna-covid-19-vaccines-fauci-idUSKBN27R2EB
[5] Soo Wern Jun, Malay Mail, “Leap from study to work getting harder for Malaysia’s youth, says Khazanah Research Institute”, 3 Nov 2020. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/11/03/leap-from-study-to-work-getting-harder-for-malaysias-youth-says-khazanah-re/1919074