
oleh Lutfi Hakim Ariff
Sama ada kita alami sendiri, atau diberitahu oleh rakan-rakan terdekat, suasana hari ini semakin genting.
Kesempitan kewangan semakin meluas, dan akibatnya semua perlu mengikat perut dan berjimat cermat dalam perbelanjaan.
Ini langkah yang lazim dilakukan apabila orang berasa resah tentang keadaan semasa, dan hendak memastikan mereka cukup bekalan untuk mengharungi tempoh ini.
Namun ia juga memberikan kesan kepada ekonomi secara lebih meluas. Apabila orang kurang berbelanja, kedai-kedai kurang pendapatan, dan akibat itu pembekal mereka juga terkesan, dan seterusnya.
Kekeringan pendapatan ini akan membuatkan perusahaan-perusahaan mencari jalan untuk mengurangkan kos perniagaan mereka.
Perancangan untuk kembangkan perniagaan akan ditunda, begitu juga niat untuk melakukan renovasi atau inovasi.
Kerap kali juga gaji-gaji yang dibayar dikurangkan, dan sekiranya tiada pilihan lain, tenaga pekerja dikurangkan.
Contoh mudah ialah apabila Ahmad, seorang penolong pengurus, dipotong gajinya sebanyak 30% kerana syarikat perlu berjimat. Ahmad kini perlu memastikan bahawa gajinya sekarang perlu cukup untuk menampung perbelanjaan isi keluarganya seramai lima orang, dan pada masa yang terus memenuhi tuntuntan bayaran hutang rumah dan kereta.
Kesannya ialah kalau dahulu Ahmad akan ke pasaraya setiap minggu dan membelanjakan RM200 ringgit untuk membeli makanan dan barang basah untuk dimasak, hari ini dia lebih sensitif dan cuba berbelanja kurang daripada RM150. Dia akan kecilkan jumlah pembelian, dan memilih produk dan bahan yang lebih murah. Selain itu, dia juga mengurangkan makan di restoran atau lain-lain perbelanjaan budi bicara.
Rantaian pengurangan perbelanjaan ini akan menyebabkan bermulanya kitaran penjimatan baru yang lebih tinggi kerana keyakinan orang ramai semakin rendah, dan kesan-kesan selanjutnya seperti yang telah kita lihat tadi.
Suasana ini diberatkan lagi dengan kehadiran kekangan pergerakan bagi mengawal penyebaran virus COVID-19.
Kedai-kedai dalam kawasan PKPP hari ini hanya dikunjungi bilangan yang kecil, dan lebih munasabah untuk mereka kurangkan tempoh operasi mereka, atau tidak beroperasi langsung pada ketika ini agar tidak rugi.
Pasaran kedai makan dan barangan mewah bukanlah petunjuk yang baik tentang keadaan yang sedang berlaku hari ini.
Golongan 1% terkaya mempunyai kekayaan yang di atas paras mereka berbelanja, sedangkan untuk kebanyakan orang perbelanjaan harus dikurangkan untuk bertemu paras gaji hari ini.
Suntikan perbelanjaan harus segera dilakukan bagi memastikan perniagaan-perniagaan kita dapat terus hidup, dan pekerjaan-pekerjaan dilindungi.
Kaedah-kaedahnya banyak, dan sudah berkali-kali dilakukan pemerintah baik di peringkat negeri atau persekutuan.
Ini termasuk baucer, e-tunai, bantuan tunai bersasar, yang perlu dilanjutkan dan diperluaskan untuk menghadapi suasana ekonomi hari ini.
Semua ini harus dilakukan untuk meningkatkan tahap permintaan pengguna dan mendorong untuk berbelanja sama ada atas talian ataupun secara fizikal.
Industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas akibat PKP juga perlu diberikan bantuan lanjutan supaya mereka tidak tutup kedai.
Jika ekonomi sebenar yang menyediakan pekerjaan, yang berniaga, yang mengeksport, tidak dilindungi pada masa ini, kedudukan kewangan pemerintah juga tidak dapat diimbangi.