
oleh Badrul Hisham Ismail
Ternyata tahun 2020 adalah tahun kematian. Sehingga kini di Malaysia, penangan wabak Covid-19 telah mengorbankan lebih 200 nyawa. Di dunia, jumlah ini sudah tidak terkira lagi banyaknya, mencecah 1.5 juta nyawa. Wabak ini juga sudah mematikan banyak sumber rezeki penduduk negara ini. Lihat saja di sekeliling, semakin banyak kedai-kedai dan perniagaan terpaksa gulung tikar. Jumlah gelandangan juga bertambah, masing-masing semakin kelaparan tanpa dibela pihak berwajib.
Lebih parah lagi, tahun 2020 ini juga adalah tahun matinya suara rakyat. Ini bermula dengan Langkah Sheraton pada penghujung Februari lalu. Gabungan suara rakyat yang melahirkan Malaysia Baru pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dibungkam begitu sahaja. Mandat rakyat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dicampak ke tepi begitu sahaja, dan tanpa segan-silu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk.
Sedihnya, rakyat hanya mampu bersuara di media sosial tanpa memberi apa-apa kesan signifikan. Segelintir individu turun ke jalan untuk menyatakan penentangan mereka, tetapi bilangannya terlalu kecil untuk meraih apa-apa perhatian. Malah hanya mendapat cemuhan daripada kugiran dan penonton yang sedang menyaksikan persembahan nyanyian di depan Sogo.
Ternyata gerakan sosial di waktu itu sudah nyawa-nyawa ikan. Ini bukan sesuatu yang terjadi sekelip mata. Ironisnya semenjak PH mula memerintah, aktivisme dan gerakan sosial semakin hari semakin mandom. Mungkin kerana ramai aktivis dan penggerak masuk ke dalam kerajaan, dan selebihnya tidak mahu bergaduh dengan teman-teman sendiri. Aktivisme dan gerakan di luar kerajaan dan parti politik dilupakan. Tiada apa-apa bentuk mobilisasi dijalankan selama PH berkuasa, walaupun masalah rakyat terus ada, dan reform belum berlaku.
Natijahnya, apabila PH dihalau keluar dari rumah sendiri, tiada yang siap untuk turun ke padang. Malaysia mudah lupa.
Sekali lagi perkara ini berlaku ketika sidang Parlimen ditangguhkan pada Mac lalu selama beberapa bulan. Mungkin kerana takut dijangkiti wabak, mungkin kerana takut dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika PN menangguhkan sidang Parlimen supaya mereka boleh duduk tenang, tiada suara rakyat berkumandang di jalanan. Suara di jalanan ini penting kerana ianya suara yang tidak dapat dinafikan, dizahirkan di dunia nyata, tidak terpecah-pecah dan tersorok di dalam alam maya.
Tidak seperti instastory yang akan luput. Suara di media sosial boleh dipersoal kesahihannya. Suara di jalanan adalah suara benar yang nyata dan tidak boleh diendahkan.
Kegagalan menzahirkan semua ini membuatkan berbulan-bulan Parlimen tidak bersidang. Dalam waktu itu, segala kelakuan kerajaan dijalankan tanpa perbahasan daripada wakil-wakil rakyat yang dilantik untuk menyuarakan pandangan dan keluhan rakyat. Aktiviti serta perbelanjaan kerajaan, yang sumbernya datang dari rakyat sendiri, dijalankan begitu sahaja tanpa proses yang telus.
Sistem demokrasi yang kita amal ini bukanlah sekadar perhiasan. Tunjang utama sistem ini adalah setiap warga mempunyai hak demokratik dan harus proaktif untuk memastikan wujudnya keadilan dan memastikan kehidupan yang terbaik untuk semua. Peluang untuk bersuara harus diwujudkan dan diberikan, dan peluang itu pula harus diguna pakai untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan terlaksana.
Suara-suara ini harus meriah di Parlimen, dan di ruang-ruang awam, baik di media, media sosial, dan di jalanan. Suara ini harus ada terus, bukan sekali-sekala di kotak undi sahaja. Ini bukan kerja mudah, tetapi kerja yang tetap harus ada. Untuk mendapat tubuh badan yang sihat, kita harus sentiasa bekerja keras bersenam, menjaga makan dan memastikan keselamatan daripada kecelakaan. Untuk memastikan masyarakat yang sihat, kerja keras yang sama harus diamalkan oleh segenap penduduk.
Lumrah kehidupan adalah mereka yang di atas tidak dapat melihat kesengsaraan mereka yang di bawah. Apatah lagi untuk merasainya. Mereka yang di atas juga adalah manusia, siap dengan baik dan buruk masing-masing. Untuk memastikan suara mereka yang di bawah didengar, dan buruk mereka yang di atas dapat dibendung, sistem yang kita gelar demokrasi ini dibentuk.
Tentunya, sistem ini punya kelompongan. Tetapi setakat ini, sejarah peradaban manusia menunjukkan sistem ini masih yang terbaik untuk menjaga dan menjamin martabat kehidupan semua manusia.
Kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab ini secara mutlak kepada kerajaan, parti politik, atau badan bukan kerajaan sedia ada. Akan ada perkara yang mereka terlepas pandang, dan masing-masing mempunyai kepentingan, dan tidak kurang juga yang korup kepentingan. Alat dan senjata utama yang kita punya adalah suara kita, suara rakyat. Suara ini yang akan memastikan rakyat hidup bermaruah, bermartabat, dan mandiri. Jika mati suara rakyat, matilah kita.
Hujung minggu yang lalu, kita sekali lagi diingatkan dengan suara kita yang sudah nyawa-nyawa ikan. Kita hampir terjerumus dalam darurat, disebabkan mereka yang berkuasa mahu hidup senang, tidak mahu bersusah-payah menyelesaikan kemelut yang sedang kita semua alami bersama.
Kali ini kita terselamat, kerana keputusan yang akhirnya memihak kita. Tetapi kita tidak boleh kekal berada di dalam keadaan ini. Kita harus hidupkan semula suara kita, supaya kita boleh hidup.
Hidup, hidup, hidup rakyat.